Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR – Kesemua 34 projek sakit Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di seluruh Negara dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, setakat ini 32 daripada 34 projek sakit berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembeli manakala baki dua projek iaitu Residensi Klebang 2 serta Residensi Bukit Katil di Melaka dijangka
diselesaikan pada bulan depan.

“KPKT akan membantu mempercepatkan proses ini supaya kedua-dua projek dapat diserahkan kepada pembeli dengan segera. Setelah projek-projek ini siap, tiada lagi projek sakit di bawah PR1MA menjelang tahun hadapan.

“Ini adalah pencapaian penting yang membuktikan kemampuan Kerajaan MADANI menerusi KPKT dan PR1MA dalam memulihkan projek sakit tanpa menjejaskan standard kualiti,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Simpang Empat 2 (Fasa 1) di Kedah, hari ini.

Tambah beliau, antara projek yang dipulihkan, 10 daripadanya telah menerima 17 anugerah dan pengiktirafan industri, sekaligus mencerminkan pemulihan dilaksanakan pada piawaian tertinggi.

Pada majlis sama, Nga turut menyerahkan kunci Residensi Simpang Empat 2 (Fasa 1), terdiri daripada 432 unit rumah teres satu dan dua tingkat, yang habis terjual.

Projek yang dibina oleh kontraktor Bina Conso Sdn Bhd ini turut mencatat skor QLASSIC 78%, mencerminkan penekanan PR1MA terhadap mutu kerja dan ketelitian pembinaan.

Sejak penubuhan PR1MA, sebanyak 67 kediaman mampu milik meliputi 44,244 unit telah berjaya disediakan di seluruh negara.

“Setakat ini sebanyak 76.5% keluarga di Malaysia telah memiliki kediaman sendiri, baki 26% lagi perlu dicapai dan Kerajaan MADANI sedang mengusahakan yang terbaik buat seluruh
rakyat Malaysia.

“Kebelakangan ini, sejak Kerajaan MADANI memegang tampuk kepimpinan, sektor perumahan negara dilihat pulih sepenuhnya dan menunjukkan perkembangan serta pertumbuhan yang sihat. Terdapat hampir 18% peningkatan dalam kadar pemilikan
perumahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast