Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Tidak timbul isu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhasrat untuk berada di peringkat Persekutuan dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata, Amirudin yang juga naib presiden parti itu mahu meneruskan tanggungjawabnya di Selangor sehingga tempoh penggal berakhir.

“Kalau kita teliti apa yang disebut dia (Amirudin Shari), memaklumkan berhasrat untuk menghabiskan penggal ini sebagai Menteri Besar Selangor.

“Dia juga menjawab tidak timbul apa-apa isu bahawa dia nak ke (peringkat) Persekutuan sekarang, itu dakwaannya tapi dia kata tidak, dia akan kekal MB sehingga selesai penggal ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Penutup Seminar Kesedaran Penipuan Syber Komuniti India Lembah Pantai, hari ini.

Fahmi berkata, sebarang keputusan pada masa akan datang bakal ditentukan oleh kepimpinan parti kelak.

Kenyataan Fahmi itu senada dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan dakwaan supaya Timbalan Presiden Nurul Izzah dilantik menggantikan Amirudin  tidak dibincangkan oleh parti berkenaan.

Isu ini tercetus selepas Amirudin menerusi program audio siar ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan baru-baru ini mencadangkan supaya Nurul Izzah menggantikan tempatnya.

Menurut Amirudin, cadangan itu pernah disuarakan kepada Nurul Izzah dan terpulang kepadanya untuk menerima atau sebaliknya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast