Ahmad Maslan

PUTATAN – Barisan Nasional (BN) bukan parti Malaya, jauh sekali pertubuhan asing kerana komponen kerajaan itu sudah lama bertapak di Sabah hingga 34 tahun, berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, dakwaan pihak tertentu kononnya BN dan UMNO merupakan parti luar adalah tidak berasas.

“Ada disebut BN ini parti Malaya. Saya nak sebut GRS (Gabungan Rakyat Sabah) baru tiga empat tahun, Warisan baru lima, enam tahun.

“BN, UMNO khasnya sudah 34 tahun, takkan lima enam tahun itu dianggap parti lokal dan 34 tahun yang sudah lama duduk di sini dianggap parti luar, tak betul.

“Yang duduk 34 tahun ini sudah jadi ahli komuniti di tempat itu, dibandingkan dengan orang yang duduk di sebuah taman lima enam tahun,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN) N.24 Tanjung Keramat, Jeffery Nor beramah mesra bersama penduduk sambil ditemani oleh Ahli Majlis Kerja Tertingi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sesi walkabout di sekitar perumahan Putatan, Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2025.

Terdahulu Ahmad menemani calon BN N24 Tanjung Keramat, Jeffery Nor Mohamed berkempen dari rumah ke rumah di sekitar Taman Jumbo, di sini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan, UMNO dan BN merupakan parti lokal dan nasional yang membentuk kerajaan di Sabah sejak puluhan tahun lamanya.

“Jadi tuduhan BN dan UMNO parti luar adalah tidak betul, kami adalah parti lokal dan nasional kita lokal dan nasional, mempunyai pengalaman dan jasa yang banyak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast