Calon Barisan Nasional (BN) N.24 Tanjung Keramat, Jeffery Nor bercakap kepada media selepas sesi walkabout di sekitar perumahan Putatan, Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2025.

PUTATAN – Calon-calon parti politik mahupun bebas digesa untuk mengekalkan suasana yang positif dan meraih undi secara berhemah sepanjang proses kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Calon Barisan Nasional (BN) N24 Tanjung Keramat, Jeffery Nor Mohamed memuji semua calon bertanding yang berkempen secara sihat dan tidak menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pengundi.

“Proses kempen sekarang semakin rancang kerana semua parti meraih undi. Saya perlu menghormati proses demokrasi ini dan saya melihat hanya segelintir sahaja kempennya agak sedikit negatif tetapi keseluruhannya positif.

“Hentam-menghentam itu agak kurang dan ini amat saya kagumi dalam kempen pilihan raya kali ini.

“Jadi saya berharap kempen seperti ini positif kepada kita di komuniti Putatan berterusan sehingga 29 November,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika menyantuni pengundi-pengundi di Taman Jumbo, di sini, hari ini.

Ahli Majlis Kerja Tertingi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bergambar bersama calon Barisan Nasional (BN) N.24 Tanjung Keramat, Jeffery Nor pada sesi walkabout di sekitar perumahan Putatan, Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2025.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Selain Manifesto Sabah, Jeffery berkata, beliau sendiri mempunyai manifesto sendiri untuk DUN Tanjung Keramat yang lebih dekat dengan keperluan dan hati rakyat.

“Kita di Putatan ini khususnya DUN Tanjung Keramat, kita juga mengeluarkan manifesto sendiri yang dekat betul dengan hati rakyat.

“Setiap tujuh tahun kami turun padang, penyaluran bekalan air antara permintaan rakyat yang masih belum dapat diatasi.

“Ini kerana masalah penyaluran air tidak konsisten membebankan penduduk Taman Jumbo. Kita kena fikir secara tuntas bagaimana kita menyelesaikan masalah ini pada masa akan datang,” katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) N.24 Tanjung Keramat, Jeffery Nor pada sesi walkabout di sekitar perumahan Putatan, Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2025.

Ditanya tentang kelebihan BN berbanding parti lain jika memenangi PRN Sabah, Jeffery berkata, parti komponen kerajaan itu mempunyai kelebihan besar tanpa menggunakan orang tengah untuk penyaluran peruntukan ke Sabah.

“Terus saja maklumkan kepada parti di Semenanjung, kerana platform sama. Sudah tentu kami akan memperjuangkan dalam platform sama.

“Saya berkali-kali cakap MA63, 40 peratus (hasil negeri), BN Sabah tetap mempertahankannya,” katanya.

Katanya, komitmen BN Sabah bukan retorik semata-mata, tidak akan merayu kepada keputusan Mahkamah Tinggi di sini terhadap bayaran 40 peratus hasil negeri.

“Datuk Seri Bung Moktar Radin orang pertama meminta Peguam Negara agar tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi dan ini dituruti Presiden UMNO yang bersetuju dengan keadaannya.

“Jadi kami bukan retorik. Kami menyatakan hasrat ini untuk kepentingan rakyat Sabah, khususnya DUN Tanjung Keramat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast