Oleh: Dr. Ahamad Jama’ Amin Yang
POLITIK Sabah sering digambarkan sebagai rencam, sukar dijangka dan sarat kejutan. Namun di sebalik perubahan kerajaan yang kerap, percaturan gabungan yang sentiasa berganjak dan kemunculan tokoh baharu yang silih berganti, terdapat satu pola wacana yang berterusan.
Pola itu ialah kecenderungan membingkai hampir semua isu melalui dikotomi kami berhadapan mereka. Naratif ini mula mempengaruhi cara rakyat melihat diri, menilai pihak lain serta mentafsir kedudukan Sabah dalam rangka Persekutuan Malaysia. Ia bukan sekadar frasa retorik, tetapi rangka fikir yang mengakar dalam budaya politik Sabah.
Dikotomi ini tidak muncul secara tiba-tiba. Sabah membawa pengalaman sejarah yang berbeza daripada banyak negeri lain. Negeri ini pernah berada di bawah pentadbiran syarikat dan kolonial sebelum menyertai Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963.
Dokumen tersebut, bersama pelbagai jaminan hak negeri, membentuk harapan bahawa Sabah memasuki Malaysia sebagai rakan yang setara, bukan daerah pinggiran yang boleh diurus mengikut kehendak pusat. Apabila sebahagian komitmen perjanjian dilihat tidak dilaksanakan dengan menyeluruh, timbul rasa bahawa Sabah diperlakukan secara tidak adil.
Dari sinilah benih perasaan kami di Sabah mula menguat, manakala mereka merujuk kepada kuasa di Semenanjung yang dianggap tidak benar benar memahami realiti negeri di Borneo. Dalam ruang ini, parti-parti politik tempatan segera membaca potensi mobilisasi yang besar.
Sejak era Parti Bersatu Sabah sehinggalah gabungan mutakhir, slogan mempertahankan hak Sabah muncul saban kali menjelang pilihan raya. Dari sudut strategi politik, pendekatan ini ternyata berkesan.
Namun dari sudut analisis yang lebih kritis, timbul persoalan sejauh mana retorik tersebut diterjemahkan kepada pembaharuan dasar yang mengubah struktur kuasa, amalan tadbir urus dan agihan sumber. Penulis berpandangan bahawa terdapat jurang nyata antara bahasa pembelaan yang lantang dengan kesediaan menghadapi reformasi sebenar yang mungkin menjejaskan kepentingan sebahagian elit tempatan sendiri.
Kepelbagaian etnik dan budaya di Sabah menambah lapisan baharu kepada dikotomi ini. Negeri ini sering dipromosikan sebagai model keharmonian pelbagai etnik dengan kehadiran komuniti Kadazan-Dusun, Murut, Bajau, Suluk, Bugis, Cina dan banyak lagi kumpulan etnik kecil. Walaupun gambaran ini tidak salah, ia mudah menutup hakikat bahawa politik identiti tetap beroperasi dengan intensiti tinggi.
Tuntutan status pribumi, kedudukan bahasa dan adat serta persoalan siapa yang dianggap penduduk asal menjadi tema berulang dalam wacana politik. Dalam kerangka ini, kami merujuk kepada kelompok yang diiktiraf sebagai pemilik asal manakala mereka ialah yang sering dipersoal kesahihan kedudukan dan kesetiaan.
Isu migrasi dan komuniti tanpa warganegara menjadikan garis pemisah ini semakin tajam. Kemasukan migran dari Filipina dan Indonesia sejak beberapa dekad lalu atas faktor konflik dan ekonomi telah menghasilkan komuniti yang besar serta kompleks. Kewujudan kelompok yang tidak mempunyai dokumen sah menimbulkan kebimbangan berkaitan keselamatan, ekonomi dan demografi.
Tuduhan bahawa kerakyatan diberikan secara longgar menambahkan lagi kecurigaan. Ramai penduduk tempatan merasakan komposisi pengundi dan struktur sosial negeri telah berubah tanpa persetujuan mereka. Parti politik pula sering memanfaatkan keresahan ini dalam ucapan dan manifesto, dengan janji untuk memperketat penguatkuasaan dan menertibkan pendaftaran.
Namun penilaian yang jujur perlu mengakui wujud juga kepentingan ekonomi dan patronage yang memanfaatkan tenaga kerja murah serta kedudukan rapuh komuniti ini. Dalam perkara ini, politik Sabah kelihatan selektif, tegas pada peringkat retorik tetapi lebih lunak apabila berhadapan struktur kepentingan sebenar.
Autonomi, pembangunan dan dinamika parti
Dimensi hubungan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan memberikan konteks kuasa yang besar kepada wacana kami dan mereka. Tuntutan pelaksanaan menyeluruh Perjanjian Malaysia 1963, perbahasan tentang hasil petroleum, kuasa imigresen, pendidikan dan pengurusan perkhidmatan awam tidak sekadar menyentuh butiran teknikal pentadbiran.
Isu ini mencerminkan sejauh mana Sabah merasakan dirinya dihormati dalam keluarga persekutuan. Parti tempatan yang beroperasi atas platform Sabah dahulu Sabah sekarang Sabah masa depan menegaskan bahawa mereka ialah benteng hak negeri.
Parti nasional pula cuba menyesuaikan naratif dengan menonjolkan janji rundingan, peruntukan tambahan serta komitmen reformasi. Di tengah-tengahnya wujud politik tawar-menawar yang kadangkala tidak telus kepada rakyat, dengan keputusan penting dibuat di meja rundingan tertutup tanpa perbincangan awam yang bermakna. Jurang pembangunan antara Sabah dan negeri negeri lain serta antara bandar dan pedalaman menguatkan lagi rasa terpinggir.
Walaupun kaya sumber asli, Sabah masih bergelut dengan kadar kemiskinan yang tinggi dan infrastruktur yang tidak seragam. Banyak kawasan pedalaman berdepan masalah jalan raya yang daif, bekalan air yang tidak menentu dan kemudahan kesihatan yang terhad.
Apabila pengalaman harian rakyat bercanggah dengan naratif rasmi tentang kemajuan, wujud keadaan yang subur untuk menghidupkan semula dikotomi kami yang dianaktirikan berhadapan mereka yang menikmati kemudahan. Penulis melihat selagi jurang pembangunan ini tidak ditangani secara serius dengan mekanisme pemantauan yang telus, retorik keadilan untuk Sabah akan kekal sebagai slogan dan bukan gagasan yang membawa perubahan sebenar.
Di medan pilihan raya, pertembungan antara parti politik tempatan dan parti politik nasional sering dibingkai secara hitam putih. Parti politik tempatan digambarkan sebagai suara tulen rakyat negeri, manakala parti politik nasional dikaitkan dengan kepentingan luar yang tidak sensitif terhadap konteks setempat.
Walau begitu, realiti politik jauh lebih bersimpang siur. Terdapat pemimpin Sabah yang memainkan peranan utama dalam parti politik pusat dan terdapat parti politik tempatan yang bersedia menukar pendirian apabila situasi kuasa berubah.
Fenomena lompat parti yang berulang menunjukkan bahawa dikotomi kami dan mereka tidak sentiasa berpijak pada prinsip yang kukuh. Dalam banyak keadaan, ia lebih menyerupai pakaian naratif yang diganti mengikut musim dan keperluan. Perkembangan media sosial mempercepatkan penyebaran naratif yang menyederhanakan isu.
Video pendek, grafik yang sarat emosi dan petikan yang dipetik di luar konteks beredar dengan pantas. Ramai pengguna yang tidak terlatih dalam literasi media cenderung menerima gambaran bahawa Sabah sentiasa dizalimi, manakala pihak luar hampir secara automatik tidak boleh dipercayai. Kesan jangka panjangnya ialah kemerosotan keupayaan awam menilai hujah berdasarkan fakta dan membandingkan tawaran dasar secara rasional.
Dalam masa yang sama, pengundi muda Sabah menunjukkan kecenderungan yang berpotensi mengubah landskap ini. Ramai dalam kalangan mereka lebih prihatin terhadap isu pekerjaan, kemahiran, kualiti pendidikan, kos kehidupan dan kelestarian alam sekitar. Isu identiti tetap penting, namun tidak lagi menjadi satu-satunya lensa utama.
Jika kecenderungan berasaskan isu ini berkembang, politik Sabah mungkin dapat bergerak ke arah yang lebih matang dan substantif. Namun hal ini menuntut parti politik menstruktur semula pendekatan mereka daripada memanipulasi dikotomi kami dan mereka kepada merangka dasar yang terperinci, boleh dilaksanakan serta terbuka kepada penilaian rakyat.
Secara tuntas, dikotomi politik kami dan mereka di Sabah perlu dibaca dengan analisis yang lebih mendalam dan seimbang. Di satu sisi, ia melambangkan tuntutan yang sah terhadap keadilan sejarah, pembahagian sumber yang lebih adil dan pengiktirafan identiti negeri yang khas.
Di sisi lain, ia boleh menjadi tirai yang menutup kegagalan tadbir urus, kelemahan integriti dan kelesuan visi kepimpinan di peringkat negeri sendiri. Penulis berpandangan bahawa cabaran utama bagi Sabah bukan sekadar mengulang naratif tentang ketidakadilan yang datang dari luar, tetapi keberanian memeriksa secara jujur peranan elit tempatan dalam mengekalkan struktur yang sama.
Masa depan politik Sabah akan banyak ditentukan oleh sejauh mana rakyat dan pimpinan sanggup keluar daripada keselesaan naratif pemisah ini. Selagi dikotomi kami dan mereka digunakan lebih sebagai senjata simbolik untuk mengekalkan kuasa, Sabah berisiko kekal berputar dalam lingkaran rasa terpinggir tanpa perubahan struktur yang bermakna. Wacana kritis yang berasaskan data, media yang bertanggungjawab dan budaya politik yang menghargai hujah rasional menjadi prasyarat untuk membayangkan Sabah yang benar benar adil, bermaruah dan sejahtera bagi semua.
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah & Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.















