Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau mengikuti rapat perkembangan musibah banjir yang semakin memburuk walaupun berada jauh di Kenya, dengan lebih 15,000 mangsa terjejas di tujuh negeri setakat ini.

Menurut Anwar, laporan yang diterimanya menunjukkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama semua aset agensi berkaitan telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan rakyat yang masih terperangkap serta memastikan bantuan segera sampai kepada semua mangsa.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga telah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan, serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.

Anwar kini berada di Kenya di mana singgahan terakhir beliau dalam rangka lawatan rasmi ke tiga negara Afrika.

Beliau berkata, kerajaan turut menggerakkan Skuad Ihsan MADANI ke semua kawasan terjejas untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa banjir di hampir 100 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di tujuh negeri.

Anwar turut menyeru penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa, khususnya apabila diminta untuk berpindah segera demi keselamatan diri dan keluarga.

“Saya menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diminta segera berpindah. Keselamatan keluarga harus menjadi keutamaan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan, sambil berharap segala urusan dipermudahkan sepanjang tempoh mencabar berkenaan.

Setakat pukul 3.30 petang, lebih 13,000 mangsa banjir direkodkan di lapan negeri dengan Kelantan menjadi negeri paling terjejas apabila lebih 9,000 mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast