SEPANGGAR – Barisan Nasional (BN) menawarkan pakej yang lengkap kepada 1.78 juta pengundi di Sabah melalui manifesto dan calon yang mampu memberi nilai tambah kepada Sabah agar pembaharuan boleh dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, calon-calon BN terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan senior, calon baru yang berpengalaman dalam pentadbiran dan calon muda yang mampu mewarisi kepimpinan masa hadapan.
“Ini perubahan dalam BN yang telah lama kita praktikkan dan sudah berjaya, kita akan tengok perubahan yang sama berlaku di Sabah,” katanya ketika ditemui pada majlis Sembang Santai bersama calon BN DUN N.16 Darau Arfanshah Abdul Gafar.

Lantaran itu, katanya, BN tidak mengitar semula calon kerana memahami rakyat Sabah sudah membuat keputusan.
“Saya melihat perkembangan itu dan tahu keputusan mereka (pengundi).
“Kami akan berusaha apa sahaja asalkan keyakinan rakyat Sabah akan kembali kepada calon-calon yang ditawarkan BN,” katanya yang yakin pengundi muda di Sabah menjadi penentu pada pilihan raya kali ini.
Beliau juga menekankan komitmen BN untuk menyampaikan aspirasi dan janji kepada pengundi jika diberikan mandat Kembali oleh rakyat.

ADUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kampung Darau, Kota Kinabalu. Foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2025.Sementara itu, ADUN Mahkota, Johor Syed Hussien Syed Abdullah yang ditemui pada majlis sama mendapati, rakyat Sabah mahu dan suka mendengar tawaran perkhidmatan yang akan diberikan oleh parti yang bakal memerintah.
“Bagi orang muda… mereka tengok apakah tawaran yang diberi dan adakah relevan atau bersikap populis.
“Tawaran calon-calon BN lebih bersifat kolektif dan ia boleh dilaksanakan,” katanya yang menyifatkan kempen PRN Sabah semakin ‘membara’.
Beliau menyifatkan, BN bukan sahaja menawarkan pakej lengkap tetapi yang lebih penting manifesto BN sangat relevan dan mampu untuk ditunaikan.
“Kita tak mahu janji dan bercakap, kita mesti nak tengok agar menjadi manifestasi pada masa akan datang,” ujarnya.
Syed Hussien juga yakin gabungan BN adalah pilihan terbaik untuk Sabah kerana ia menawarkan kestabilan, kepimpinan berpengalaman, dan calon muda yang berwibawa, berbanding janji-janji yang bersifat sementara.
Lantaran itu, beliau berharap pengundi muda termasuk yang atas pagar dapat melihat trek rekod BN semasa mentadbir Sabah selama ini. – MalaysiaGazette
















