KUANTAN – Bandaraya Kuantan telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 88 peratus bagi teras Bandaraya Pelancongan, seiring pelan strategik tahun 2021-2025 Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Perkara itu diumum Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli ketika Majlis Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan 2025 yang diadakan di Dewan Bandaraya Kompleks Bandaraya Kuantan, di sini hari ini.
“Untuk makluman, visi MBK sepanjang lima tahun ini adalah membangunkan Kuantan sebagai bandar raya lestari, inklusif, resilien, pintar dan berdaya huni.
“Kuantan kini mempunyai populasi 571,300 orang manakala jumlah pengunjung luar pada tahun 2024 mencecah 2.4 juta orang.
“Jumlah ini menunjukkan kemudahan awam, infrastruktur, perkhidmatan perbandaran, aktiviti perniagaan dan keindahan alam bukan sahaja dinikmati penduduk setempat tetapi turut dirasai para pelancong luar,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) negeri Pahang, Mohd Fharid Saidu; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang, Mohd Rizal Ismail; Pengarah Tourism Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Haji Yahaya dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.
Tambah Zaliza, sepanjang dua tahun lepas, MBK juga telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur pelancongan dengan peruntukan RM47 juta. – MalaysiaGazette
















