JOHOR BAHRU – Pas Johor memberi dua cadangan susulan penangguhan projek pusat data baharu di Johor selama 18 bulan sehingga pertengahan 2027 akibat masalah tekanan bekalan air.

Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd Firdaus Jaffar berkata, pertama adalah dengan melakukan audit menyeluruh keupayaan bekalan air negeri.

“Audit bebas terhadap loji rawatan air (LRA), paip utama, rizab margin dan kawasan berisiko.

“Laporan audit perlu didedahkan kepada umum demi ketelusan serta memastikan rakyat memahami tahap kesiapsiagaan negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, cadangan kedua adalah dengan mempercepatkan naik taraf LRA dan penggantian paip usang.

LRA yang beroperasi melebihi 90 kapasiti pula katanya, mesti dinaik taraf segera selain pogram penggantian paip lama perlu dipercepatkan kerana kadar jumlah air tidak berhasil (NRW) Johor kekal tinggi iaitu antara 24 hingga 27 peratus.

Jelasnya, tujuan cadangan itu ialah untuk menjamin bekalan air domestik tidak terjejas, memperkukuh infrastruktur air negeri dan menjadikan Johor hab digital yang lestari tanpa risiko krisis air.

Beliau berkata, penangguhan projek pusat data itu menandakan isu kapasiti dan pengagihan air masih belum stabil di negeri ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan sebenar infrastruktur air untuk menyokong pertumbuhan sektor tersebut.

Penjelasan kerajaan katanya, bahawa risiko kemarau dan tekanan terhadap sumber air sedia ada menjadi punca penangguhan menunjukkan perlunya langkah yang lebih konkrit bagi menambah dan menstabilkan bekalan air.

Permintaan air sektor pusat data dijangka meningkat sehingga 384 juta liter sehari menjelang 2030, dengan 15 pusat data kini beroperasi dan beberapa lagi sedang dalam pembinaan, katanya.

“Laporan industri menunjukkan bahawa 13 pusat data pernah memohon 29.1 juta liter air sehari, namun hanya 6.10 juta liter sehari diluluskan iaitu sekitar 21 peratus daripada permintaan asal, membuktikan keterbatasan ketara keupayaan bekalan air sedia ada.

“Jika projek yang masih dalam pembinaan pun terjejas akibat kekangan air, lebih banyak gangguan dijangka apabila pusat data baharu mula beroperasi sepenuhnya dalam beberapa tahun mendatang,” ujarnya.

Rakyat Johor ujarnya, berhak mendapat jaminan bahawa bekalan air domestik tidak terjejas selepas mengambil kira rekod gangguan lampau yang berpunca daripada isu pengagihan serta beberapa insiden pencemaran sumber air.

“Pas Johor menyokong pembangunan digital negeri, namun menegaskan bahawa pertumbuhan tersebut mesti selaras dengan kemampuan kapasiti air agar kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast