KUALA LUMPUR – Datuk Dr Ibrahim Ali menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan kerajaan pusat menyekat dan memotong bayaran royalti petroleum Terengganu yang menurutnya ‘hak perjanjian negeri’ dan tidak boleh dimanipulasi mengikut kepentingan politik.
Memetik rintihan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berulang kali menegaskan, royalti minyak adalah hak negeri berdasarkan perjanjian sedia ada.
Beliau mendakwa, tindakan kerajaan pusat menangguhkan bayaran tersebut sebagai bentuk kezaliman terhadap rakyat Terengganu.
“PMX Anwar Ibrahim wajib jawab, mengapa sesama Islam dizalimi, tetapi dengan Amerika berlutut mencium kaki,” kata Ibrahim sambil menyifatkan isu itu sebagai kegagalan tatakelola Kerajaan Perpaduan.
Ibrahim turut mendakwa, bayaran royalti yang sepatutnya diterima negeri itu ‘disekat, dihukum dan dipijak’, sambil menegaskan apa yang dituntut hanyalah bayaran lima peratus seperti termaktub, bukan tuntutan lebih besar seperti Sarawak atau Sabah.
Beliau mempersoalkan, bagaimana kerajaan pusat boleh memeterai pelbagai perjanjian dengan kuasa asing, namun pada masa sama dikatakan gagal menunaikan perjanjian dengan Terengganu.
“Tak payahlah nak tunjuk diri hebat kalau hak atau hutang orang sengaja tak mahu bayar,” katanya.
Ibrahim menuduh kerajaan pusat memberi layanan istimewa kepada Amerika Syarikat, namun keras terhadap rakyat majoriti Melayu Islam di Pantai Timur.
“Kerajaan sanggup melutut kepada kuasa asiing tetapi, apabila berhadapan dengan negeri Islam sendiri, mereka menjadi zalim, keras, biadap dan membisu,” dakwanya.
Menurutnya, konsep Malaysia Madani yang sering dilaungkan kerajaan hanyalah retorik dan beliau mendakwa tindakan Putrajaya tidak selari dengan nilai Islam yang dipamerkan di pentas rasmi.
“Konsep Madani tidak lebih daripada kostum hipokrasi,” katanya.
Dalam pada itu Ibrahim turut mendakwa layanan terhadap Terengganu berbeza berbanding Sarawak dan Johor.
Beliau mendakwa, dua negeri itu diberikan layanan lebih baik kerana kepentingan politik pusat, sedangkan Terengganu ‘dihukum’ kerana menjadi negeri pembangkang.
“Kalau keadilan hanya untuk negeri yang beri keuntungan politik…itu bukan kerajaan Madani. Itu kerajaan pengecut,” katanya.
Ibrahim turut menggesa Perdana Menteri agar menunaikan tanggungjawab moral dan perjanjian berkaitan bayaran royalti.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Terengganu tidak meminta derma, sebaliknya menuntut hak yang termaktub dalam perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri.
Ibrahim berkata, Putra berdiri bersama Menteri Besar Terengganu, kerajaan negeri serta rakyat dalam tuntutan tersebut.
“Bila royalti akan dibayar, berapa jumlah sebenar yang dipotong, siapa mengarahkan perubahan mekanisme bayaran dan apa alasan undang-undang menahan hak negeri. “ soal beliau. – MalaysiaGazette
















