KUALA LUMPUR – Bukan sahaja kereta-kereta China yang mula bertapak, malahan pusat penyelenggaraan kenderaan China turut mula memasuki pasaran Malaysia.
Nanyang Siang Pau melaporkan, bengkel kereta jenama TUHU yang berasal dari China telah mula beroperasi di Malaysia iaitu membuka cawangan di Petaling Jaya dan Kuala Langat di Selangor.
Bengkel kereta itu mempunyai sejarah 14 tahun bermula sebagai sebuah kedai tayar.
Jenama TUHU meletakkan diri sebagai “doktor kenderaan” di China dan mempunyai lebih 7,000 cawangan dan meliputi 95 peratus bandar di Negara Tembok Besar tersebut.
Seperti dengan operasinya di China, TUHU Malaysia memperkenalkan operasi secara dalam talian, termasuk jualan dan tempahan perkhidmatan secara online.
Walaupun masih tidak dapat membandingkan harga perkhidmatan secara spesifik dengan bengkel lain di Malaysia, tetapi TUHU menekankan ketelusan dalam perletakan harga.
Strategi perniagaannya termasuk meletakkan harga secara jelas di Internet.
Walaupun Nanyang Siang Pau tidak menjangkakan persaingan sengit kepada bengkel tempatan atau memberi perkhidmatan yang murah, tetapi kemunculan TUHU akan memberi impak kepada bengkel yang menawarkan perkhidmatan kurang berkualiti dan menetapkan harga secara tidak telus.
















