KUALA LUMPUR – Semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berkaitan titah adendum yang ditetapkan untuk keputusan pada 5 Januari tahun depan, diawalkan pada 22 Disember ini.
Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh itu selepas sesi pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan kepada pihak media selepas prosiding.
Semalam, Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Januari tahun depan bagi memutuskan sama ada titah adendum boleh dikuatkuasakan terhadap Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Permohonan untuk menyegerakan keputusan dikemukakan oleh Najib melalui Tetuan Shafee & Co. menerusi surat yang dimajukan kepada Timbalan Pendaftar, Syeela Marlina Uttaman.
Surat tersebut yang kemudian diperoleh pihak media menyatakan, permohonan itu perlu dipertimbangkan atas alasan kemanusiaan.
Pasukan peguam memohon mahkamah mempertimbang semula tarikh keputusan yang telah ditetapkan pada 5 Januari tahun depan, diawalkan tertakluk kepada kesediaan dan budi bicara hakim.
“Anak guam kami yang berusia 72 tahun telah berada dalam tahanan penjara selama hampir dua tahun sejak titah adendum dikeluarkan pada 29 Januari 2024.
“Tempoh ini jauh lebih lama daripada yang sepatutnya, walhal beliau sepatutnya telah menjalani tempoh tahanan rumah bermula tarikh berkenaan.
Namun, anak guam kami terus ditahan di penjara hingga hari ini semata-mata kerana prosiding mahkamah yang masih berterusan.
Setiap hari tambahan yang dihabiskan dalam tahanan adalah kebebasan yang tidak dapat dikembalikan kepadanya.
“Jika perintah Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos lalu dipatuhi dengan ketat perkara dalam prosiding semakan kehakiman sepatutnya berakhir pada 14 September lalu,” ujarnya.
Surat itu turut menyatakan, penafian terhadap kebebasan bekas Perdana Menteri melanggar Perkara 5 Persekutuan Perlembagaan yang melindungi bukan sahaja kebebasan fizikal tetapi juga maruah dan keselamatan daripada individu tersebut.
Ujar surat tersebut, penahanan berpanjangan telah menyebabkan kesusahan, trauma dan kemerosotan ketara kepada emosi dan kesejahteraan Najib secara keseluruhannya.
Dalam surat berkenaan, pasukan peguam turut membawa perhatian mahkamah kepada pandangan Hakim Besar Malaya (ketika itu), Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang mengetuai panel Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos lalu.
Panel tersebut ketika menolak rayuan Peguam Negara mahukan semakan kehakiman dilupuskan dalam tempoh sebulan (berakhir 14 September lalu) selain menekankan keperluan mendesak supaya pertikaian mengenai titah adendum disegerakan demi kepentingan kebebasan.
Semalam, Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Januari tahun depan bagi memutuskan sama ada titah adendum boleh dikuatkuasakan terhadap Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Bekas Perdana Menteri memfailkan semakan kehakiman bagi memohon perintah bahawa sekiranya titah adendum wujud, responden atau mana-mana daripada mereka diarahkan untuk segera melaksanakannya, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Dalam semakan kehakiman, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Pesuruhjaya Negara Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi. Sabitan dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, yang menolak rayuannya.
Najib kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan tempoh penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette















