Sebahagian graduan UIS yang menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen Kali ke-28.

KUALA LUMPUR – Seramai 987 graduan Universiti Islam Selangor (UIS) dari pelbagai peringkat pengajian akan menerima skrol masing-masing Istiadat Konvokesyen Kali ke-28 yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini.

Istiadat itu diadakan di Dewan Sultan Idris Shah, UIS.

Mereka terdiri daripada tiga graduan Ijazah Kedoktoran (PhD), enam graduan Ijazah Sarjana, 535 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 443 graduan Diploma.

Sejak konvokesyen pertama yang diadakan pada tahun 1998 sehingga Istiadat Konvokesyen ke-28 hari ini, UIS telah melahirkan seramai 32,391 orang graduan daripada pelbagai peringkat pengajian.

Sidang canselor pagi tadi disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin merangkap Canselor, Universiti Islam Selangor (UIS) dengan penugerahan kepada 146 orang graduan.

Pada sidang kedua esok, seramai 398 graduan Ijazah Sarjana Muda diraikan pada sidang ini dipengerusikan oleh Dauk Salehuddin Saidin selaku Pro-Canselor I, Universiti Islam Selangor (UIS).

Manakala sesi petang sidang ketiga ipengerusikan oleh Datuk Mohamad Adzib Bin Mohd Isa selaku Pro-Canselor II Universiti Islam Selangor (UIS).

Pada istiadat kali ini, UIS menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Islamiyyat kepada Sahibul Fadhilah Al-‘Alim Al-‘Arif Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, seorang tokoh ulama yang amat disegani atas ketokohan, keilmuan dan dedikasi beliau dalam memartabatkan syiar Islam di negeri Selangor serta di peringkat nasional.

Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan tertinggi universiti terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang fatwa, pendidikan Islam, pembangunan institusi-institusi agama serta komitmen berterusan beliau terhadap pengukuhan masyarakat berteraskan ilmu.

Mohd Tamyes telah memainkan peranan signifikan sebagai pemimpin, pendidik dan pemikir yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan ummah melalui pendekatan hikmah, kebijaksanaan dan integriti.

Beliau telah berkhidmat sebagai pendidik dan pentadbir di beberapa buah Sekolah Agama Menengah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kemudiannya dilantik sebagai Sahibus Samahah Mufti di Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 16 Mac 1998 hingga 19 Mei 2021 dan menjadikan beliau antara mufti yang paling lama berkhidmat di negeri ini.

Sepanjang 23 tahun kepimpinannya, beliau telah memperkukuh institusi fatwa dengan memperkenalkan sistem pengurusan hukum yang berasaskan penyelidikan ilmiah dan prinsip Maqasid Syariah serta menegakkan kefahaman Islam yang sederhana dan inklusif.

Istiadat Konvokesyen kali ini juga turut mencatat sejarah tersendiri dengan meraikan 25 graduan sulung bagi program baharu yang ditawarkan di Universiti Islam Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast