Raiz Mukhliz Azman Aziz

MUAR – Kegiatan menyimpan dan mengedar dadah di kawasan Taman Lembah Padang, di sini, terbongkar selepas empat lelaki warga Indonesia diberkas dengan rampasan RM36,191 dalam serbuan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, serbuan dilakukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada pukul 10.40 malam.

“Polis melakukan serbuan di sebuah rumah dalam taman tersebut hasil maklumat dan risikan berkenaan kegiatan tersebut dalam kawasan taman berkenaan.

“Pihak polis menahan empat lelaki Indonesia berusia 23 hingga 30 tahun serta merampas dadah jenis heroin dan syabu dengan nilai keseluruhan RM36,191,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 1,025.6 gram syabu dan 55 gram heroin dalam kotak rokok, beg kertas serta bungkusan teh Cina dipercayai untuk tujuan edaran.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Raiz Mukhliz memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 39b, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar, memiliki dan menghisap dadah.

Semua suspek katanya, kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, pihaknya komited membanteras aktiviti pengedaran dadah melalui strategi risikan dan sasaran, operasi berkualiti dan pengukuhan kehadiran Penguatkuasaan di kawasan berisiko.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast