Pasangan kekasih doktor di Hospital Melaka yang ditahan selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, Semabok, Melaka pada 29 Julai lalu.

MELAKA – Pasangan kekasih doktor masing-masing didenda RM2,600 dan RM1,800 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, hari ini, selepas mengaku bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, di sini, Julai lalu.

Hakim Kanan Syarie, Abu Bakar Mohd Daud menjatuhkan hukuman terhadap, Abdul Hakim Abdul Rahman, dan Nur Arifah Adlina Azman, kedua-duanya berusia 26 tahun selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh doktor yang bertugas di Hospital Melaka dan klinik di Sarawak dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didapati telah berkurung yang mendatangkan syak dengan Nur Arifah Adlina yang bukan isteri atau mahramnya di sebuah rumah beralamat Jalan SP 12, Taman Semabok Perdana, Semabok kira-kira jam 3.37 petang 29 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 53 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, manakala doktor wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 53 (2) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 bagi tertuduh lelaki manakala RM2,000 untuk wanita atau dipenjara maksimum 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh lelaki memohon denda ringan dengan alasan tekanan dihadapinya telah membuatkannya insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi selain bakal berkahwin dengan pasangannya itu tidak lama lagi.

Hujahnya lagi, tugasnya sebagai penjawat awam juga memberikan kesan serta turut mempunyai komitmen hutang.

Tertuduh wanita yang masih bujang pula merayu telah menyesal dan insaf serta menghadapi tekanan emosi bagi kesalahan pertama dilakukannya itu sebagai penjawat awam.

Radzwan dalam hujah pemberatannya memohon hukuman berat dikenakan kerana kesalahan dilakukan adalah dosa besar dan serius kerana kedua-dua tertuduh adalah doktor dan rayuan pengurangan tidak membuktikan alasan munasabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast