Ab Rahaman Arsad

JOHOR BAHRU – Polis membongkar kegiatan penipuan dalam talian dan pemerasan seksual selepas menahan sembilan warga tempatan termasuk seorang remaja dalam serbuan sekitar daerah ini baru-baru ini.

Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama-sama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan IPD Johor Bahru Selatan selepas mendapat maklumat serta risikan bermula 20 Jun hingga 1 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan dilakukan sekitar Kulai, Johor Bahru Selatan dan Johor Bahru Utara.

“Hasil serbuan yang dijalankan pihak polis berjaya menangkap sembilan warga tempatan terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 50 tahun yang disyaki terlibat dalam penipuan dalam talian dan pemerasan seksual.

“Pada masa sama polis berjaya menyelamatkan tiga mangsa eksploitasi iaitu dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 15 hingga 26 tahun yang dipercayai dipaksa bekerja selain didera fizikal dan seksual,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, serbuan tersebut turut membawa rampasan 27 telefon bimbit pelbagai jenama, satu kad pengenalan, tiga komputer riba, 49 kad sim, sebuah modem, dua pasport Malaysia, tiga tiket kapal terbang, wang tunai pelbagai negara dan peralatan lain serta dokumen.

Jelas Ab Rahaman, semua barang dan peralatan berkenaan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.

Katanya, berdasarkan siasatan awal polis, modus operandi sindiket adalah dengan memperdaya mangsa melalui tawaran kerja sebelum dipaksa melakukan aktiviti sextortion, dikurung, dipukul, didera dan diugut untuk membayar RM30,000 jika ingin berhenti kerja.

Beliau memberitahu, beberapa suspek sudah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Julai lalu dan kes masih dalam peringkat perbicaraan.

Selain itu ujarnya, anggota Bahagian D7 IPK Johor berjaya menahan dua lagi suspek iaitu dua lelaki tempatan pada 13 dan 18 November lalu.

Ab Rahaman menambah, dua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) iaitu memperdagangkan orang yang merupakan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast