Shahrulufti Sharif

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa (Putra) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan segera berhubung beberapa pendedahan serius yang didakwa melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin serta ahli perniagaan Datuk Albert Tei Jiann Cheing.

Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif menegaskan, ia susulan pendedahan membabitkan isu utama iaitu dakwaan penyerahan wang tunai RM629,000 kepada Shamsul Iskandar ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.

Turut menjadi perhatian kata beliau, dakwaan mengenai rakaman perbualan antara Tei dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dilakukan atas arahan pihak tertentu sebagai tekanan politik untuk mengekalkan sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada kerajaan persekutuan.

“Tangkap layar komunikasi Whatsapp bertarikh 15 Disember 2023 yang turut tular menunjukkan Shamsul didakwa meminta bantuan Tei bagi mendapatkan mata wang pound sterling untuk kegunaannya ketika ke London.

“Berdasarkan laporan media seperti Malaysiakini, Tei mendakwa beliau menyerahkan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar dengan harapan akan dibantu mendapatkan semula dana yang dikatakan telah disalurkan kepada pihak lain di Sabah.

“Tei turut mendakwa bahawa beliau diarahkan oleh “pihak tertentu” untuk merakam perbualannya dengan Ketua Menteri Sabah sebagai suatu bentuk “jaminan” dalam rundingan politik yang sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari jni.

Shahrulufti memberitahu, isu tersebut semakin meruncing apabila Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari turut membangkitkan persoalan dan meminta penjelasan daripada Perdana Menteri berhubung dakwaan bahawa rakaman berkenaan dibuat selepas mendapat “lampu hijau” daripada beliau.

Sehubungan itu katanya, Putra menuntut agar SPRM dan PDRM segera membuka kertas siasatan terhadap semua bentuk transaksi, komunikasi serta pertemuan yang didakwa berlaku antara Shamsul Iskandar dan Tei.

Putra juga tegasnya, mahu siasatan diperluas terhadap mana-mana individu atau pihak yang didakwa mengarahkan Tei untuk “berkorban” demi memastikan sokongan GRS kepada kerajaan pusat terus terjamin.

Selain itu kata beliau, Putra turut menggesa SPRM menyiasat pihak yang didakwa mengarahkan rakaman perbualan dengan Ketua Menteri Sabah, termasuk motif sebenar di sebalik tindakan tersebut.

“Putra turut meminta Perdana Menteri tampil memberi penjelasan terbuka berhubung dakwaan tersebut, kerana rakyat berhak mengetahui sama ada wujud sebarang pengetahuan atau penglibatan dalam isu yang kini hangat diperkatakan.

“Kami juga menggesa audit bebas dilakukan terhadap semua urusan kewangan serta projek yang melibatkan Shamsul Iskandar semasa beliau memegang jawatan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri,” ujarnya.

Katanya lagi, Putra tidak akan berdiam diri kerana isu berkenaan bukan sekadar soal rasuah, tetapi melibatkan soal amanah, integriti dan maruah pentadbiran yang perlu dijelaskan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast