Foto: FB Zambry Abd. Kadir

KUALA LUMPUR – Kesemua 36 pelajar dan dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di Hatyai, Thailand susulan bencana banjir berjaya diselamatkan.

Perkara itu disahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang turut memaklumkan, mereka kini berada dalam keadaan selamat dan akan dibawa ke penempatan sementara sebelum proses membawa pulang ke Malaysia dilaksanakan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan UUM atas koordinasi yang amat berkesan dalam memastikan operasi menyelamat ini dapat dijayakan dengan selamat dan teratur.

“Semoga urusan seterusnya dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, UUM memaklumkan, kesemua penuntut dan pensyarah universiti itu yang masih terperangkap dalam bencana banjir besar di Hatyai, Thailand akan diselamatkan menggunakan bot pagi ini.

UUM menerusi kenyataan di laman sosial Facebooknya malam tadi berkata, usaha menyelamat itu akan cuba dilakukan pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, UUM melalui bantuan NGO juga telah menggerakkan sebanyak 12 buah bot untuk memberikan bantuan makanan dan keperluan asas kepada warga UUM berkenaan di hotel Wangburapa Grand.

Bagaimanapun, tambahnya, bot yang membawa bantuan itu terpaksa berpatah balik disebabkan arus banjir yang terlalu deras.

Kesemua warga UUM itu merupakan peserta Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 yang sepatutnya pulang Sabtu lalu, namun terperangkap di hotel penginapan mereka akibat banjir besar tanpa bekalan elektrik dan air. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast