KOTA KINABALU – Tiada satu gabungan mahupun parti dijangka mampu memperoleh kemenangan dengan undi terbanyak dan bukan majoriti dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, Sabtu ini.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Ismail Rakibe berkata, hanya dua blok terbesar, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpotensi mendahului pencabar lain, masing-masing diramal memenangi 18 kerusi.
“Baki 37 Dewan Undangan Negeri (DUN) lagi dimenangi masing-masing Warisan dengan 16 kerusi, Pakatan Harapan-PH (14), Perikatan Nasional-PN (3), serta parti-parti tempatan kecil lain dan calon bebas (4), sekali gus mewujudkan DUN dengan beberapa blok sederhana besar, namun tiada satu parti yang dominan.
“Kerajaan negeri baharu akan terbentuk berdasarkan rundingan gabungan parti selepas pilihan raya,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu Ismail mengeluarkan laporan kaji selidik PRN Sabah 2025: Tinjauan Pilihan Raya dan Implikasi Strategik, Penilaian Pasca Penamaan Calon (Tempoh Kempen).

Ismail juga berkata, kehadiran lebih 660,000 pengundi baharu dengan peningkatan hampir 60 peratus susulan pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik diramal memberi nilai tambah atau sebaliknya kepada semua calon.
“Kumpulan pengundi muda besar ini, yang kini membentuk sekitar 30 peratus dari keseluruhan pengundi, tidak lagi setia kepada parti tradisional.
“Mereka lebih mengutamakan prestasi calon, integriti dan penyelesaian segera bagi masalah kehidupan harian.
“Data digital menunjukkan BN dan GRS terus menjadi dua gabungan paling menonjol dalam kalangan generasi muda melalui platform seperti TikTok dan Instagram Reels,” katanya.

Menurut Ismail, pertandingan lebih tiga penjuru bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah sering berlaku dan situasi ini memecah tumpuan undi serta meningkatkan pengaruh faktor-faktor mikro.
“Antara faktor mikro itu ialah jaringan tempatan, hubungan kekeluargaan, usaha menggerakkan pengundi dan pengedaran serta penggunaan sumber secara strategik.
“Strategi menghantar atau menyediakan sumber, bantuan atau kempen secara tepat kepada kawasan sasaran menjelang hari pengundian seperti logistik, sukarelawan, pengangkutan pengundi dan bahan kempen di kawasan tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, struktur perpecahan pelbagai parti memberi kelebihan kepada BN dengan mendapat manfaat daripada pecahan undi antara parti bukan BN dan momentum positif sepanjang kempen.
“GRS juga mendapat kelebihan daripada perpecahan pelbagai parti kerana parti pemerintah itu menguasai hubungan pentadbiran dan jentera kerajaan di peringkat negeri,” katanya.
Jelasnya, BN menunjukkan kebangkitan yang ketara walaupun berdepan kekangan sumber berbanding penyandang (GRS) berdasarkan faktor nostalgia politik dan kepimpinan simbolik.
“Sebahagian pengundi masih mengaitkan BN terutamanya era Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kestabilan ekonomi makro, tadbir urus yang konsisten dan boleh dipercayai serta agihan kebajikan yang meluas.
“Kenangan positif terhadap BN menjadi aset politik penting yang meningkatkan sokongan mereka di kawasan luar bandar dan separa bandar,” katanya.

Selain itu, kata Ismail, keputusan BN memperkenalkan kira-kira 80 peratus calon baharu dan lebih muda mengubah persepsi pengundi.
“Ini mengurangkan stigma legasi lama dan meletakkan BN sebagai parti yang mampu diperbaharui dari dalam, selaras dengan kehendak pengundi muda dan pengundi atas pagar,” katanya.
Katanya, kurang 48 jam terakhir, pemerhatian di lapangan menunjukkan GRS meningkatkan mobilisasi logistik secara ketara, selaras dengan corak penyandang yang mempunyai akses kepada sumber dan rangkaian sokongan politik yang kukuh.

Bagaimanapun katanya, GRS berdepan dua kekangan utama termasuk isu integriti dan tadbir urus semakin mendapat perhatian di media digital.
“Ia melemahkan sokongan, terutamanya pengundi bandar, belia dan golongan yang mengutamakan pembaharuan dalam politik dan pentadbiran.
“Kekecewaan pengundi terhadap perkhidmatan awam khususnya bekalan air, kestabilan elektrik dan penyelenggaraan jalan kekal menjadi isu utama yang menjejaskan sokongan terhadap GRS,” katanya.
Sementara itu, katanya, analisis analitik media sosial menunjukkan BN dan GRS mendominasi penglibatan digital, terutama di dalam kalangan belia menerusi TikTok, Instagram Reels, Facebook Shorts.
“Pola utama kerana penglibatan belia lebih tinggi untuk BN dan GRS berbanding Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.
“PN hebat atas talian di Semenanjung, tapi di Sabah mesej mereka tidak kena dengan budaya dan kehendak tempatan.
“Warisan ada sokongan rakyat, tapi kurang aktif di media digital kerana kekangan sumber,” katanya,

Dalam perkembangan sama, ulasnya, BN menarik sokongan dengan meletakkan calon muda dan baharu 80 peratus muka baharu, selain bergantung kepada pengalaman mengurus Sabah dan hubungan dengan kerajaan pusat.
“Parti yang paling berjaya berhubung dengan generasi baharu melalui media sosial dan kempen lapangan dijangka akan menang.
“GRS boleh mendapat sokongan rakyat melalui projek pembangunan dan slogan ‘Sabah First’, tetapi masih mempunyai sentimen tidak dapat menyelesaikan masalah tiga serangkai iaitu air, jalan dan elektrik.

Katanya, ramalan keputusan 18-18 antara BN dan GRS menunjukkan pengundi Sabah akan pecah undi, mempunyai pendapat politik berbeza-beza dan membuat keputusan berdasarkan isu semasa, bukan ideologi.
“Kerajaan Sabah seterusnya kemungkinan besar terbentuk melalui rundingan antara parti-parti selepas pilihan raya, bukan kerana kemenangan satu parti majoriti.
“Keputusan akan bergantung kepada rundingan antara parti, perbincangan antara blok, strategik blok bersaiz sederhana (Warisan, PH) serta kesepakatan parti kecil yang mungkin menjadi penentu.
“Pilihan Raya Negeri Sabah 2025 bukan soal parti dominan, tetapi tentang bagaimana parti-parti merekayasa gabungan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















