KUALA LUMPUR – Seramai 18,357 sukarelawan MyCHAMPION di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) berdaftar melalui aplikasi MySejahtera, sekali gus menjadi penggerak utama dalam usaha memperkukuh pendidikan kesihatan serta perubahan tingkah laku komuniti di seluruh negara.
Malah, sumbangan mereka diperkasa melalui Geran Projek Promosi Kesihatan MyCHAMPION berjumlah RM1.86 juta, merangkumi 179 projek komuniti yang menyokong pelaksanaan intervensi hidup sihat secara lestari.
Salah satu program melibatkan sukarelawan MyCHAMPION itu termasuk Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS): `MOH Kita Sihat’ yang berlangsung di Bagan Datuk, Perak, Ahad lalu.
Program itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet ANMS.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya komited untuk terus memperkukuh agenda kesihatan preventif dan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-society).
“Program ini menghimpunkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta komuniti setempat dalam membina ekosistem kesihatan komuniti, selaras aspirasi `Sihat itu Saya, Sihat itu Kita, Sihat itu Malaysia’,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan KKM hari ini.

Tambah kenyataan itu, program ANMS: `MOH Kita Sihat’ di Bagan Datuk tersebut membabitkan tiga komponen utama iaitu MyCHAMPION bersama Wellness on Wheels (WoW) Zoomers.
Katanya, program jangkau luar itu merangkumi pendidikan kesihatan dari rumah ke rumah serta aktiviti komuniti yang mana setakat ini, sebanyak 622 lokaliti di 190 kawasan Parlimen telah dilawati dengan penglibatan hampir 100,000 ahli komuniti.
Ujarnya, turut berlangsung adalah acara larian Jambatan Sultan Nazrin Shah melibatkan hampir 2,000 peserta membabitkan larian sejauh 21 kilometer (km); 10km dan 5km, bagi mencerminkan komitmen masyarakat terhadap gaya hidup aktif.
Tambahnya, aktiviti lain termasuk Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 2.0 Peringkat Kebangsaan melibatkan lebih 400 sukarelawan, termasuk MyCHAMPION, pelajar institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, menurut kenyataan itu, selari dengan transformasi sistem kesihatan negara daripada penjagaan berasaskan penyakit (sick care) kepada penjagaan berasaskan kesejahteraan (health care), KKM turut membangunkan Wellness Hub.
Jelasnya, ia merupakan pusat sehenti perkhidmatan preventif dan promosi kesihatan bagi memperkukuh pembudavaan hidup sihat secara bersasar.
“Setakat ini, sejumlah 33 Wellness Hub telah beroperasi di seluruh negara dan inisiatif ini mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan memupuk tanggungjawab kendiri.
“Ia sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI, khususnya nilai Kesejahteraan dan Daya Cipta dalam membina komuniti yang sihat dan berdaya tahan,” katanya. – MalaysiaGazette
















