Mantan ahli jawatankuasa Armada Bersatu, Iwan Yusril menerima jaket Barisan Nasional (BN) simbolik penyertaannya bersama 30 bekas ahli Armada ke dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tawau, hari ini.

KOTA KINABALU – Penyertaan 30 bekas ahli Armada Bersatu Bahagian Tawau ke dalam UMNO memberi mesej jelas bahawa anak muda Sabah mahukan politik stabil dan berwibawa.

Calon Barisan Nasional (BN) N.68 Apas, Dr Elmiariezan Ardan berkata, sayap Bersatu itu bukan sahaja sudah muak dengan retorik palsu bahkan kecewa dengan pergolakan dalaman parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.

“Ini bukan sekadar kemasukan biasa. Ini adalah mesej jelas bahawa anak muda mahukan politik yang stabil dan berwibawa.

“Mereka sudah muak dengan retorik palsu dan pergolakan dalaman Bersatu. Hari ini mereka memilih BN dan memberi sokongan penuh kepada saya di DUN Apas,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu seramai 30 ahli Armada Bersatu bertindak keluar parti dan mengumumkan menyertai Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tawau hari ini.

Langkah berani itu diketuai mantan ahli jawatankuasa Bersatu, Iwan Yusril yang menyatakan pendirian mereka yang hilang keyakinan terhadap Armada yang semakin lemah, berpecah dan gagal menawarkan hala tuju politik meyakinkan.

Lebih signifikan, kumpulan itu turut menyatakan sokongan padu dan terbuka kepada calon BN DUN Apas sekali gus menandakan perubahan arus politik anak muda di kawasan tersebut.

Dr Elmiariezan juga menegaskan, kemasukan ini akan menguatkan jentera Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tawau dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

“Selain itu, ia membuktikan bahawa BN terus menjadi pilihan utama anak muda yang mahukan masa depan yang lebih terjamin.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tawau komited untuk memperkasa gerakan lapangan, memperluas penyertaan belia dan memastikan kemenangan BN di kerusi N.68 Apas serta seluruh kawasan Tawau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast