BONGAWAN – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Anifah Aman menegaskan keputusannya kembali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan adalah bagi memastikan hak-hak Sabah khususnya yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dirunding dan dipulangkan dengan lebih berkesan melalui saluran rasmi peringkat Persekutuan.
Bekas Menteri Luar dan mantan Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, pengalaman dalam kerajaan sebelum ini memberi kelebihan untuk membawa isu hasil negeri termasuk tuntutan 40 peratus secara teratur tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.
Pendekatan itu lebih realistik berbanding laungan politik yang hanya mencari populariti.
“Saya sebenarnya sudah selesa selepas bersara tetapi bila turun ke kampung, ramai minta saya kembali. Mereka perlu seseorang yang boleh bercakap terus dengan Putrajaya dan membawa pulang hasil untuk mereka,” katanya ketika menjelang hari terakhir kempen PRN Sabah Ke-17 hari ini.
Menurut Timbalan Pengerusi GRS itu, fokusnyah untuk memastikan Sabah mendapat haknya melalui penyelesaian yang boleh dilaksanakan bukan hanya melalui ucapan lantang tanpa hasil.
Katanya, sebuah negara yang stabil adalah syarat penting untuk rundingan hak negeri yang lebih kukuh.
“Kita mahukan kerajaan Persekutuan yang kuat. Bila negara stabil, kemampuan mereka menyelesaikan isu tertunggak MA63 jadi lebih jelas. Kita tidak mahu Persekutuan terbeban, tetapi kita juga mahu Sabah mendapat pulangan yang sewajarnya,” ujarnya.
Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) menegaskan, perjuangan hak Sabah bukan sesuatu yang baharu baginya sebaliknya menggerakkan forum profesional mengenai MA63 pada 2015 ketika masih dalam kerajaan ketika banyak pemimpin Sabah lain memilih untuk tidak hadir.
“Waktu itu tiada pun menteri Sabah dari Barisan Nasional yang turun ke forum. Saya malu. Saya panggil semua pihak termasuk pembangkang seperti Jeffrey Kitingan dan Yong Teck Lee kerana isu ini lebih besar daripada politik,” katanya.
Tegasnya, Bongawan memerlukan wakil rakyat yang mampu bergerak lebih jauh daripada peranan tradisional ADUN termasuk menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mempercepatkan projek pembangunan.
“Rakyat di Bongawan perlukan seseorang yang boleh mengetuk pintu kementerian bukan sekadar memberi janji. Tugas saya ialah memastikan suara dan keperluan mereka sampai terus ke meja keputusan di Putrajaya,” jelasnya.
Anifah juga turut menyeru pengundi Bongawan membuat pilihan dengan mengambil kira masa depan jangka panjang kawasan itu serta keperluan Sabah untuk mendapatkan pulangan hasil negeri secara berkesan dan berkekalan. – MalaysiaGazette
















