Musa Aman menyampaikan skrol ijazah kepada salah seorang graduan.

KOTA KINABALU – Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu terus menjadi duta perpaduan dan jentera yang boleh mengeratkan hubungan antara komuniti dan
sentiasa menghormati perbezaan demi kepentingan bersama.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang juga merupakan Canselor UMS berkata, hal tersebut sangat penting dalam konteks Negeri Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum, budaya, agama dan kepercayaan.

“Sebagai alumni UMS, diharapkan para graduan dapat menyumbang bakti, kepakaran demi kelangsungan pembangunan negeri dan negara amnya.

“Langkah ini menjadi bukti kecintaan kepada universiti, di samping balasan budi baik dan sokongan serta inisiatif Kerajaan Negeri, yang telah membuka ruang penempatan, perkongsian penyelidikan dan pembangunan modal insan,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-27 Tahun 2025 di Dewan Canselor, UMS.

Musa menambah, sejumlah RM6.5 juta telah disumbangkan pada tahun 2024 kepada pihak UMS bagi menyokong projek-projek kajian serta penubuhan kerusi khas
daripada Kerajaan Negeri.

“Jumlah sumbangan tersebut akan digunakan bagi memartabatkan kajian kebudayaan dan sains tempatan. Ini menunjukkan betapa kerajaan memberi keyakinan kepada keupayaan penyelidikan UMS, terhadap pembangunan mampan serta pengukuhan kualiti bidang pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Majlis konvokesyen juga katanya, bukan sekadar majlis penyerahan pelbagai ijazah kepada para graduan semata-mata, tetapi turut membawa makna yang sangat
mendalam kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

“Para graduan seharusnya merasa bangga kerana telah memperoleh ilmu daripada sebuah Menara Gading yang kegemilangannya semakin meningkat.

“Hasil usaha ini mampu membuahkan hasil yang baik dalam memperkukuh penyelidikan yang dapat menyumbang kepada Pembangunan Borneo dan Negara secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Seramai 488 graduan UMS telah berjaya memperoleh skrol Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Doktor Kesihatan Awam, Ijazah Sarjana Penyelidikan, Ijazah Sarjana Kerja
Kursus, dan Ijazah Sarjana Speciality Programme for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMS Ke-27. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast