Tangkap layar video tular banjir di pekan Masjid Tanah.

MELAKA – Beberapa kawasan di negeri ini mula dinaiki air sejak malam tadi susulan hujan lebat berterusan susulan pembentukan Ribut Tropika Senyar di Selat Melaka.

Keadaan bertambah buruk apabila hujan turun secara selang-seli dengan angin kuat di seluruh negeri sejak awal pagi sehingga jam 8 pagi ini.

Keadaan menyebabkan beberapa lokasi seperti Masjid Tanah, Lubok China dan beberapa kawasan lazim banjir di Alor Gajah mula dilimpahi air.

Selain banjir kilat, beberapa insiden pokok tumbang turut dilaporkan di beberapa kawasan berikutan angin kencang.

Namun setakat ini tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.

Operasi pembersihan dan pemotongan dahan dilakukan secara berperingkat oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka.

Sehingga kini juga, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh Melaka.

Menurut Ramalan Awal Banjir Negeri Melaka yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia kemungkinan banjir diramalkan berlaku antara 27 hingga 29 November ini.

Ia susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Antara kawasan berisiko adalah meliputi Daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin yang melibatkan beberapa lembangan sungai utama seperti Sungai Melaka, Sungai Linggi, Sungai Udang, Sungai Malim, Sungai Duyong dan Sungai Ayer Panas.

JPS memaklumkan bahawa pemantauan rapi sedang dilakukan di semua lembangan sungai dan hebahan amaran banjir akan dikemaskini dari semasa ke semasa sekiranya hujan signifikan berterusan.

Penduduk di kawasan rendah serta berisiko banjir diminta sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa, selain merujuk portal PublicInfoBanjir untuk maklumat terkini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast