PUTATAN – Kempen rumah ke rumah bertukar menjadi jejak kasih, itu pengalaman manis tidak dapat dilupakan calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) N23 Petagas, Annita Shiela F.Among yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Kak Shiela berkata, walaupun kebanyakan pencabarnya mempunyai tali persaudaraan, namun tidak menyangka ramai pengundi di sini khususnya Petagas merupakan saudara terdekatnya.
“Perkara yang manis ialah, bila kita nak jumpa dan melawat orang, sekali orang yang kita lawat itu rupanya ada pertalian saudara.
“Itu perkara terbaik yang pernah saya temui, yang dari saya kenal hingga yang tidak saya kenal, sampai saya kenal saudara.
“Jadi itulah yang terbaik, macam jejak kasih, itu yang berlaku sepanjang tempoh kami berkempen,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas berkempen dalam Ceramah Bersama Komuniti Kampung Ketiau, di sini, malam ini.

Pada 15 November lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 N23 Petagas menyaksikan persaingan sengit daripada 10 calon yang bertanding.
Antaranya Aslin Samat (Parti Impian Sabah) Sabrezani Sabdin Ghani (Parti Kerjasama Anak Negeri), Dr. Afifi Saif – Perikatan Nasional, Lee Nyuk Soon @ Jason Lee – UPKO, Patrick Manius – Bebas, Awang Husaini Sahari (Pakatan Harapan), Awang Ahmad Sah (Bebas), Adelaide Cornelius (KDM) dan Uda Sulai (Warisan).

Shiela, 55, yang berketurunan Kadazan berkata, beliau merupakan satu-satunya calon wanita yang bertanding di N23 Petagas dan seluruh Parlimen Putatan.
Anak jati Putatan itu berkata, kelebihan itu menyebabkan beliau hampir tiada pihak yang melakukan provokasi melampau sepanjang tempoh berkempen di sekitar kawasan ini.
“Mungkin kawasan saya ini bandar, kami tidak begitu fanatik, malah penyokong daripada parti-parti lain itu juga tidak pernah menyerang dengan kata-kata tidak baik kepada saya.
“Sebaliknya jika kami bertembung ketika berkempen, kami akan ambil gambar dan berswafoto bersama, kempen sangat tenang dan tiada provokasi,” katanya.

Tambahan pula kata Shiela, oleh kerana kebanyakan calon lain di N23 Petagas mempunyai hubungan kekeluargaan, tidak timbul provokasi atau serangan politik terhadap dirinya setakat ini.
“Kebetulan juga kebanyakan calon yang bertanding ini semua ada kaitan, semua bersaudara daripada calon bebas, calon daripada PH dan Warisan, semua berkaitan, semua ada pertalian saudara, jadi tidak tampak sangat fanatik,” katanya.
Shiela juga berkata, memandangkan sembilan pencabarnya merupakan mantan menteri dan wakil rakyat sebelum ini, faktor muka baharu menjadi kelebihan kepadanya untuk memberi pilihan lebih segar dan rekod bersih kepada pengundi.
“Semua calon ni, kebanyakan calon memang berkaitan, bersaudara tapi kelebihan yang ada pada saya adalah kebanyakan calon ini semua ni sudah pernah menjadi yang Berhormat.

“Jadi pengundi dia tahu rekod prestasi setiap calon yang bertanding. Saya adalah freshie dan muka baharu, tapi membawa perjuangan baharu.
“Slogan yang dibawa Star Sabah ialah Sabah for Sabahan dan Keadilan untuk Sabah di mana kebanyakan sudah diketahui rakyat kerana Sabah sudah lama dianaktirikan kerajaan pusat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















