Haresh Deol

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar barang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Haresh Deol, Selasa lalu.

R. Krishnan, 37, didakwa bersama seorang suspek yang masih bebas dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wartawan sukan itu atau nama sebenarnya Haresh Singh, 43, berhadapan Bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, Bangsar di sini, pukul 3.10 petang hingga 3.32 petang, 25 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Januari tahun depan untuk fakta dan hukuman.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Mohamad Salihen Mastor yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan rendah kerana anak guamnya bekerja sebagai ‘runner’ berpendapatan RM40 sehari.

“Anak guam saya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta enam anak yang masih bersekolah. Saya mohon wang jaminan dikurangkan dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis,” katanya.

Hench tidak membantah syarat tambahan yang dipohon peguam.

Menurut laporan media, Haresh diserang oleh dua individu dalam satu insiden di Bangsar, salah seorang daripadanya bertindak merakam insiden berkenaan menggunakan telefon bimbit.

Sebelum itu, polis mengesahkan menerima laporan daripada Haresh yang juga pengasas bersama portal berita Twentytwo13 berhubung kejadian pada pukul 4 petang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast