Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengibarkan bendera pada Pelancaran Manifesto GRS sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di SICC, Kota Kinabalu. Foto FAREEZ FADZIL, 17 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Badan penyelidikan Ilham Centre meramalkan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 26 daripada 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) esok.

GRS dijangka muncul sebagai parti dengan kerusi paling banyak dimenangi, sekali gus menjadi parti yang akan mengetuai rundingan dalam membentuk Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut Ilham Centre dalam satu kenyataan, kajian pihaknya mendapati faktor yang memberikan kelebihan kepada GRS berbanding parti-parti lain yang bertanding termasuk keuntungan sebagai penyandang.

Selain itu, katanya, imej sederhana Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga penyandang ketua menteri boleh diterima merentasi kepimpinan parti lain.

Dalam masa sama, ujarnya, GRS juga berjaya mengekalkan sokongan di kawasan pantai barat Sabah yang merupakan kubu kuat mereka, selain kempen yang membawa naratif kestabilan dan tenang yang menarik perhatian pengundi.

“Ini menjadikan GRS akan membuka pintu rundingan dengan parti-parti lain mahupun calon Bebas yang menang untuk mengukuhkan majoriti,” katanya.

Laporan kajian oleh Ilham Centre itu disediakan oleh panel penyelidikan terdiri daripada Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar; Ketua Penyelidikan, Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal dan Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim.

Sementara itu, menurut Ilham Centre, Parti Warisan pula diramal menang selesa di enam kerusi DUN kubu kuat mereka terutama di pantai timur Sabah.

Bagaimanapun, katanya, Warisan berpotensi menggandakan angka kemenangan itu kepada 14 kerusi DUN sekiranya ayunan (swing) undi berlaku di kerusi bandar dan kerusi sengit.

Sementara itu, ujarnya, Barisan Nasional (BN) pula dijangka memenangi sembilan kerusi dengan kejayaan menawan kerusi tambahan kategori DUN sengit dianggap sebagai satu bonus.

Selain itu, tambahnya, Pakatan Harapan (PH) pula hanya mempunyai empat kerusi DUN selesa untuk dimenangi setakat ini.

“Sementara itu, terdapat 13 kerusi sengit yang terbuka kepada semua calon untuk dimenangi.

“Antara 13 kerusi sengit ini, Perikatan Nasional (PN) hanya berpotensi di dua kerusi iaitu Karambunai dan Sugut.

“Sekiranya gagal mengutip sebarang kerusi ini, ia akan menjadi tamparan hebat kepada PN untuk melakukan ‘wake-up call’ selepas PRN-17 Sabah ini,” katanya.

Tambah Ilham Centre, situasi DUN tergantung masih boleh distabilkan oleh GRS dengan peluang menambah kerusi melalui kawasan sengit; kerjasama dengan PH serta rundingan bersama parti-parti lokal dan calon Bebas.

Selain itu, katanya, faktor peratusan keluar mengundi juga tidak boleh dipandang rendah yang mana semakin rendah keluar mengundi, ia akan menguntungkan parti penyandang.

“Kami juga menjangkakan sebahagian besar pengundi luar tidak akan pulang mengundi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast