MELAKA – Ribut Tropika Senyar yang ‘menyerang’ Selat Melaka merekodkan kematian pertama negara selain runtuhan cerun dan struktur pelantar melibatkan lapan mangsa di Port Dickson.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, kesemua lapan mangsa bagaimanapun dilaporkan selamat.
Menurutnya, kematian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 49 tahun yang menunggang motosikal dan merempuh sebatang pokok tumbang di Jalan Selandar menghala ke Machap, Jasin jam 6.57 pagi tadi.
“Terdapat juga kes runtuhan struktur pelantar minyak di Port Dickson, namun kesemua lapan lagi mangsa pekerja sayrikat itu dilaporkan selamat.
“Kes pokok tumbang pula merekodkan 49 kes pokok tumbang di lima buah negeri iaitu Negeri Sembilan (33 kes), Melaka (8), Selangor (5), Putrajaya (2) dan satu kes di Perak,” katanya.

Nor Hisham merasmikan Sambutan Hari Integriti JBPM 2025 di Ayer Keroh hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Integriti JBPM 2025 di Ayer Keroh, hari ini. Hadir sama Pengarah JBPM Melaka Mohd Zaidi Ma’at.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, kejadian pokok tumbang berpunca apabila struktur tanah menjadi lembut di kawasan beriklim tropika mudah terjejas apabila menerima hujan berintensiti tinggi.
“Kita kena ingat, meskipun ribut Senyar ini dilaporkan telah melemah dan diturunkan taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah, risiko pokok tumbang serta tanah runtuh masih tinggi.
“Saya juga ingin menasihati orang awam supaya tidak mengunjungi kawasan berisiko seperti lokasi yang banyak pokok besar atau kawasan rekreasi berhampiran cerun,” katanya. – MalaysiaGazette
















