KUALA LUMPUR – Kelibat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah terus menguatkan spekulasi beliau akan kembali menyertai politik dalam masa terdekat.
Meskipun Khairy menegaskan tindakannya itu hanya kerana membantu `rakan-rakan’ politiknya dan calon yang beliau secara peribadi beranggapan layak menang, namun ia tidak dapat menepis desas-desus kepulangannya dalam arena politik.
Lebih menarik perhatian, apabila sepanjang PRN-17 Sabah itu, Khairy dilaporkan turun berkempen di dua kawasan yang ditandingi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta masing-masing satu kawasan ditandingi calon Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ini sekali lagi menimbulkan pertanyaan sama ada ia merupakan petanda beliau benar-benar akan menyertai PKR dan menjadi menteri semula dalam waktu terdekat.
Apatah lagi, seperti yang dinyatakan pemerhati politik, Shahbudin Husin, dalam kempennya, Khairy juga dilihat memuji Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri yang paling banyak memberi peruntukan kepada Sabah, selain berjaya menunaikan sejumlah besar perjanjian MA63.
Bagaimanapun, menurut Shahbudin, dalam mengakui Khairy sememangnya seorang pemimpin yang berbakat dan berkebolehan sebagai menteri, namun ramai tidak bersetuju sekiranya beliau menyertai PKR.

Ini kerana, katanya, seperti yang disebut banyak pihak, PKR bukan tapak yang kukuh untuk Khairy meneruskan karier politiknya, meskipun mungkin ia merupakan laluan mudah untuk menjadi menteri dalam waktu terdekat.
Kebimbangan utama, katanya, disebabkan tiada jaminan yang kukuh PKR akan kekal sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), bahkan masa depan parti itu juga mungkin lebih kabur selepas ketiadaan Anwar kelak.
“Sekarang ini pun, di sebalik khabar angin beliau akan menyertai PKR, ramai juga orang PKR yang tidak mengalu-alukan kemasukannya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Bagaimanapun, berbeza dengan UMNO, menurut Shahbudin, meskipun parti itu turut tidak menentu masa depannya selepas banyak kekalahan dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini, tetapi kelebihan UMNO ialah ia merupakan parti yang mempunyai “base” yang kukuh.
Ujarnya, dengan asas kukuh itu, selain nilai sejarahnya, ia tidak mudah tenggelam walau dibadai apa jua gelombang.
“Dengan itu, diyakini bahawa walaupun UMNO mungkin tidak menang banyak kerusi pada PRU-16 akan datang atau PRU-PRU selepas ini, namun parti itu diyakini tetap jadi rebutan untuk diajak bagi membentuk kerajaan,” katanya.
Sementelah, tambah Shahbudin, kepimpinan UMNO ketika ini, bermula daripada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presidennya, semuanya adalah pemimpin veteran yang sudah melepasi usia pencen.
Sehubungan itu, ujarnya, Khary dilihat mempunyai masa depan lebih cerah untuk menerajui UMNO dalam sedikit masa lagi dan hanya perlu lebih bersabar.
“KJ lebih dirasakan sesuai serta perlu kembali kepada UMNO dan membina kembali kerjayanya melalui parti itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















