KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong melahirkan rasa bangga dapat berkhidmat sebagai pembantu kepada Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di kementerian itu.
Menurutnya, tidak ramai menteri sudi memberi ruang yang luas kepada timbalannya untuk menyumbang idea, pandangan, dan kepakaran.
Tambah beliau, Tengku Zafrul juga bukan sahaja seorang pemimpin yang tinggi keyakinan diri, malah bijak, cekap, dan pandai berseloroh.
Selain itu, ujarnya, Tengku Zafrul juga peramah, sentiasa mesra dengan kakitangan kementerian dan agensi, selain mempunyai hubungan rapat dengan rakan-rakan Kabinet serta rakan-rakan sejawatnya dari luar negara.
Dalam masa sama, tembahnya, Tengku Zafrul juga sentiasa aktif mencari penyelesaian kepada pelbagai isu dan masalah yang timbul.
“Selamat maju jaya saya ucapkan kepada beliau, khususnya ketika menanti peranannya dalam kerajaan dan politik dalam masa yang terdekat ini.
“Saya yakin Tengku Zafrul akan terus aktif dalam usaha menjadikan Malaysia lebih makmur dan bersatu-padu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Terdahulu, Chin Tong turut berkongsi saat menghadiri mesyuarat pasca-Kabinet kementerian yang merupakan kali terakhir dipengerusikan oleh Tengku Zafrul sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri semalam.
Tengku Zafrul akan menamatkan tugas sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri seiring tamatnya pelantikan beliau sebagai anggota Dewan Negara.
Beliau yang menyandang jawatan Senator selama dua penggal sejak 2020 iaitu tempoh maksimum dibenarkan akan menamatkan tempoh enam tahun di Dewan Negara pada 2 Disember ini.
Bagaimanapun, seperti dimaklumkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Madani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Tengku Zafrul akan terus menyumbang kepada kerajaan walaupun tidak lagi berada dalam Kabinet.
Fahmi berkata, Anwar bagaimanapun tidak menyatakan bentuk peranan atau jawatan yang akan disandang Tengku Zafrul selepas ini.
Pada Jun lalu, Tengku Zafrul yang ketika itu masih Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tengku Zafrul turut meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak tahun 1997. – MalaysiaGazette
















