KUALA LUMPUR – Wartawan Malaysia Gazette (MG), Kasthuri Jeevandran menang tempat ketiga di Malaysia Public Relations Awards (MPRA) 2025 bagi kategori Online Media Writing Issues & Crisis menerusi liputan khas mengenai isu lif rosak yang menjejaskan penduduk di Taman Bukit Angkasa di sini malam tadi.
Majlis anugerah berprestij anjuran Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia itu berlangsung dengan tema Connections yang menekankan peranan hubungan kemanusiaan dalam dunia komunikasi yang semakin dipacu automasi dan teknologi.
Artikel Kasthuri bertajuk Lif rosak, penduduk blok P20 terpaksa upah warga asing angkut barang menarik perhatian juri selepas mendedahkan bagaimana kerosakan lif berpanjangan memaksa penduduk mengupah pekerja asing dengan bayaran RM15 hingga RM30 untuk mengangkat tong gas, barang dapur dan keperluan asas ke tingkat tujuh hingga sembilan.
Kerosakan lif memberi kesan besar kepada warga emas, keluarga berpendapatan rendah dan penduduk yang tidak mampu turun naik tangga selama berminggu-minggu sehingga ramai bergantung kepada ihsan jiran serta ahli keluarga untuk membeli keperluan harian.

Menurut Kasthuri, penduduk menghubungi MG dalam keadaan terdesak selepas beberapa kali membuat aduan dan dalam masa yang sama turut menghubungi Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk memaklumkan keadaan tersebut.
“Ketika kami turun membuat liputan, pihak menteri memang sudah mengetahui situasi itu kerana penduduk sudah menghubungi beliau lebih awal. Tindakan segera diambil pasukan beliau selepas aduan bertalu-talu daripada penduduk,” katanya hari ini.
Kasthuri berkata, beliau terharu apabila laporan yang bertujuan mengangkat suara masyarakat itu menerima pengiktirafan industri.
“Saya benar-benar tidak menyangka laporan ini akan diiktiraf. Pada saya, isu masyarakat seperti ini adalah nadi kewartawanan kita turun, dengar dan bawa suara mereka sehingga masalah itu diberi perhatian pihak berwajib.
“Terima kasih kepada MG yang sentiasa memberi ruang berkarya, dan kepada PRCA kerana menghargai hasil kerja kami,” ujarnya.
Majlis MPRA 2025, yang memasuki tahun ke-17 menyampaikan 104 anugerah merangkumi emas, perak dan gangsa dalam 35 kategori meraikan hasil kerja agensi, organisasi, pengamal PR, media dan bakat baharu yang mengangkat standard komunikasi strategik di Malaysia.
Presiden PRCA Malaysia, Prof Mohd Said Bani C.M. Din, dalam ucapan pembukaan berkata, tema Connections menggambarkan hakikat hubungan manusia tetap menjadi inti komunikasi walaupun teknologi berkembang pesat.

“Ini bukan sekadar acara anugerah tetapi meraikan hubungan yang menghidupkan kerja kita. Komunikasi bukan hanya penyampaian tetapi transformasi,” katanya.
Ketua Hakim MPRA 2025, Stefanie Braukmann pula berkata, karya paling berimpak tahun ini lahir daripada empati, kefahaman mendalam dan keupayaan pengamal PR serta media membaca denyut masyarakat.
PRCA Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Media OutReach sebagai penaja utama selain Naza Automotive Group, Agro Bank, Petronas Gas Berhad, Al-Hilmi Agrofarm, MK Land Holdings Berhad dan Berjaya Food Berhad sebagai penaja perak.
Turut menyertai sebagai penaja kategori ialah Taylor’s University, MAHB, Sarawak Tourism Board, CommerceDotCom, SPAN, PR Newswire, McDonald’s Malaysia dan West Coast Expressway.
Panel hakim seramai 16 orang merangkumi tokoh PR kanan, pemimpin media, pegawai kerajaan dan ahli akademik turut dihargai atas komitmen mereka mengekalkan standard penjurian profesional dan seimbang. – MalaysiaGazette
















