TANGKAP layar video serbuan pihak berkuas ke atas pusat kesihatan yang dipercayai turut dijadikan lokasi aktiviti lelaki songsang di ibu negara, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menggesa satu siasatan rapi dijalankan bagi mengesahkan penglibatan warga guru dalam serbuan pihak berkuasa di pusat aktiviti songsang di ibu negara, Jumaat lalu.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil tindakan tegas kepada pegawai pendidikan terlibat jika disahkan terbabit dengan aktiviti tersebut.

Menurut beliau, kegiatan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak wajar dinormalisasikan dalam kalangan warga guru kerana ia bertentangan dengan nilai dan budaya ketimuran, bahkan bertentangan dengan prinsip agama dan moral masyarakat.

Sehubungan itu, ujarnya, tingkah laku penjawat awam khususnya warga guru perlu dijaga agar integriti dan kredibiliti sebagai kakitangan KPM dipelihara dan tidak mencemarkan profesion keguruan.

“Hal seperti ini tidak ada kompromi dan pihak KPM wajib mengambil tindakan tegas tatatertib terhadap guru -guru yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Mohd Azizee menyeru para guru supaya sentiasa menjaga tingkah laku dan aku janji sebagai penjawat awam serta mematuhi etika profesion sebagai seorang guru yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

“i-Guru sentiasa komited untuk terus bekerjasama dan menyokong pihak KPM dalam usaha mengekang budaya negatif di institusi pendidikan serta memastikan profesion perguruan kekal disanjung tinggi, berintegriti dan bermaruah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 201 pengunjung ditahan dalam serbuan ke atas sebuah gimnasium dan sauna dua tingkat yang dijadikan sarang buat lelaki gay melampiaskan nafsu songsang di Chow Kit di sini, Jumaat lalu.

Daripada yang ditahan itu, seramai 17 orang merupakan penjawat awam terdiri daripada guru, doktor bedah, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast