KUALA LUMPUR – Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengumumkan pelantikan Dr Azril Syazwan Mohd Ali sebagai pengarah baharu agensi itu berkuat kuasa hari ini.
ADAMAS dalam satu kenyataan memaklumkan Azril Syazwan merupakan Pakar Perubatan Sukan dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, merangkumi
perubatan sukan, penjagaan atlet serta pembangunan persekitaran sukan yang selamat.
Beliau berkelulusan BSc Med Sci, M.D (UPM) dan Masters in Medicine (Sports Medicine) dari Universiti Malaya.
“Dengan pengalaman dalam latihan, pembelajaran dan perkongsian profesional dalam bidang perubatan sukan, Dr Azril Syazwan mampu menyumbang kepada pemahaman yang lebih menyeluruh tentang kesejahteraan dan perlindungan atlet.
“Pelantikan ini memperkukuh usaha ADAMAS dalam memajukan sukan yang bersih, adil dan berintegriti selaras dengan semangat global clean sport,” menurut kenyataan di Facebook ADAMAS di sini hari ini. – MalaysiaGazette
















