Para graduan di Majlis Konvokesyen 2025 UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

KUANTAN – Graduan perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan pesat teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) untuk terus berdaya saing.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pembelajaran bukan hanya di kelas sebaliknya mereka perlu lebih peka dengan kemajuan teknologi di sekeliling mereka.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan ilmu yang kita ada ataupun kita rasa apa yang telah dipelajari di kampus telah mencukupi, tidak. Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang perlu kita terokai kerana kita sedia maklum bahawa a keadaan begitu pantas berubah.

“Siapa sangka sekarang ini zaman AI kan? Dulu tidak ada AI. Sebelum itu komputer dan kita tengok perubahan komputer pun begitu cepat sekali. Kadang-kadang kita tidak terkejar. Maknanya kita kena peka, kena bersedia untuk menghadapi ilmu-ilmu baru supaya kita boleh terus maju ke hadapan,” katanya.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen 2025 UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen 2025 UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak; Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd., Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; serta barisan pengurusan tertinggi UCYP.

Dalam majlis tersebut, Wan Rosdy menyampaikan sijil kepada para graduan bagi sesi pertama yang melibatkan seramai 623 graduan ijazah, diploma, sarjana dan doktor falsafah.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Islam Dengan Perniagaan Halal bernama Mohamad Haizat Bakri, 25, merupakan penerima Anugerah Kepimpinan Menteri Besar dalam majlis tersebut.

Ketika ditemui, anak jati Pahang yang merupakan anak sulung daripada enam adik beradik memberitahu sama sekali tidak menyangka terpilih menerima penganugerahan itu.

Mohamad Haizat Bakri bergambar bersama keluarganya selepas Majlis Konvokesyen 2025 UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini

“Saya tak sangka dapat anugerah ini. Mungkin disebabkan penglibatan saya. Dulu saya pernah jadi Masjlis Perwakilan Pelajar dan Timbalan YDP Mampan UCYP.

“Jadi, saya banyak terlibat dalam kepimpinan dalam Majlis Belia negeri Pahang. Contohnya, saya terlibat dalam Sidang Belia Dewan Undangan Negeri Pahang. Saya mewakili ADUN Belia Semambu.

“Saya aktif dalam kerja-kerja sukarelawan dan kerja-kerja komuniti inilah yang menyebabkan pengurusan tertinggi memanggil saya untuk calon sebagai anugerah ini.

Saya buat ini semua bukan untuk dapat anugerah tapi sebab minat saya sendiri. Saya minat dalam bidang pengurusan, ia ada kaitan dengan kepimpinan yang menyebabkan apa yang saya belajar, seharusnya saya akan terap dalam kehidupan seharian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast