Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah, bukan noktah dalam perjuangan parti itu.

Malah, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran menegaskan, kekalahan UMNO dan BN itu bukan bermakna kekalahan semangat ahli-ahli parti itu.

Menurut Abdul Rahman, beliau memahami rasa kecewa dan hampa seluruh ahli-ahli UMNO dan BN dengan keputusan PRN-17 Sabah yang bukan seperti diharapkan mereka.

Namun, ujar beliau, keputusan itu menjadi peringatan bahawa perjuangan UMNO dan BN lebih besar daripada satu-satu pilihan raya serta mana-mana individu.

“Seperti generasi UMNO Sabah yang terdahulu, kita bangkit, kita belajar, dan kita kembali dengan lebih kuat. Itulah semangat UMNO Sabah. Itulah semangat Sabah.

“Hari ini bukan hari putus asa, ia adalah hari bermuhasabah, hari pembaharuan, hari membina tekad baharu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Sementara itu, menurut Abdul Rahman, UMNO dan BN akan menggunakan saat-saat ini untuk lebih mendengar denyut nadi rakyat, merapatkan hubungan dengan masyarakat, memperbaharui iltizam dan memperkukuhkan kekuatan parti.

Dalam keadaan itu, menurutnya, apabila pilihan raya seterusnya tiba, UMNO dan BN pasti akan lebih bersedia.

Sehubungan itu, beliau menggesa anak-anak muda dan akar umbi yang setia bersama parti tersebut, serta pemimpin yang memikul panji parti supaya teguh bersama UMNO dan BN.

“Kerana harapan bukan sesuatu yang hilang pada hari pilihan raya. Harapan adalah sesuatu yang hidup dalam diri kita. Sesuatu yang tidak boleh dirampas oleh mana-mana keputusan.

“Dan selagi harapan itu kita jaga, selagi kita bersatu, dan selagi kita terus berkhidmat dengan ikhlas,masa depan UMNO Sabah akan kembali bersinar,” katanya.

Sementara itu, beliau melahirkan keyakinan suatu hari nanti, dengan kepercayaan rakyat dan semangat ahli-ahlinya yang tidak pernah padam, UMNO dan BN akan kembali lebih gagah daripada sebelumnya.

Pada PRN-17 Sabah kelmarin, BN hanya berjaya memenangi enam kerusi daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.

Ia juga merupakan pencapaian terburuk UMNO dan BN sepanjang sejarah pilihan raya di Sabah, sekali gus menunjukkan penurunan sokongan penduduk negeri itu terhadap parti tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast