KUALA LUMPUR – Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR) akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah beliau, dapatan dan syor yang dikemukakan dalam laporan tersebut juga akan dibincangkan secara mendalam bersama pengurusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Komitmen Kerajaan MADANI terhadap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik tidak pernah berganjak.
“Setiap syor dan dapatan dalam laporan ini akan diteliti dengan serius agar reformasi institusi terus diperkukuh, ketirisan dibendung, dan keyakinan rakyat diperteguh.
“Insya-Allah, kita akan memastikan usaha membina negara yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi terus menjadi keutamaan tertinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Menurut Anwar, beliau telah mendengar pembentangan Laporan Tahunan JKmR yang diketuai Pengerusinya, Datuk Mohd Shahar Abdullah, hari ini.
Laporan tersebut katanya, merangkumi penelitian serta pemeriksaan anggota JKmR terhadap Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tahun 2021 hingga 2024.
Ia membolehkan JKmR mengenal pasti trend dan perkembangan semasa terkait usaha pencegahan rasuah dan cabaran yang dihadapi SPRM. -MalaysiaGazette
















