KUANTAN – Polis giat mengesan suspek curi lembu di Kampung Landai, Nenasi, Pekan dalam kejadian kira-kira pukul 9.21 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pihaknya menerima laporan dibuat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun selepas dia gagal mengejar suspek berkenaan.
“Kira-kira 4.45 petang semalam semasa pengadu bekerja di sebuah bengkel kenderaan, dia dimaklumkan bapa saudaranya sebuah MPV jenis INOKOM Matrix berwarna perak dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang kelapa sawit LKPP Nenasi.
“Apabila pengadu ke lokasi, dia terserempak dengan kenderaan itu dan melihat terdapat lembu di dalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Zaidi, lelaki itu kemudian mengejar kenderaan tersebut dan melihat seorang lelaki yang bangsanya tidak dikenal pasti telah membuka pintu belakang kenderaan itu dan menolak jatuh seekor lembu ke tepi jalan.
Jelasnya, pengadu bersama beberapa orang awam cuba mengejar suspek namun gagal dan membuat laporan di Balai Polis Nenasi.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalakan. – MalaysiaGazette
















