Bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf (kanan) hadir bagi mendengar keputusan pertuduhan pengabaian kanak-kanak kanak-kanak autisme itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JULAI 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan rayuan untuk mengetepikan sebahagian daripada 14 syarat yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam ketika membenarkan anak keduanya dikembalikan ke pangkuan keluarga.

Zaim Ikhwan Zahari, 30, memfailkan rayuan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 November lalu menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Zaim Ikhwan selaku perayu tidak berpuas hati dengan sebahagian keputusan Mahkamah Majistret pada 21 November lalu yang menetapkan 14 syarat dan bon ke atasnya di bawah Seksyen 30(1)(a) dan 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini media melaporkan selepas 18 bulan anak kedua Zaim itu dijaga oleh nenek saudara termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mahkamah Majistret membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun itu dipulangkan ke pangkuan bapanya.

Bagaimanapun, Majistret Ameera Mastura Khamis memerintahkan bapa kepada dua anak itu, memenuhi 14 syarat yang dikemukakan pihak JKM antaranya memastikan kanak-kanak yang juga menghidap autisme itu tidak ditinggalkan berseorangan tanpa pengawasan orang dewasa dan tiada kes penganiayaan atau berlaku pengabaian.

Syarat itu turut menetapkkan bahawa penempatan, lokasi dan keberadaan kanak-kanak bagi tempoh tetap, tidak boleh didedahkan kepada masyarakat umum dan kanak-kanak itu tidak boleh dijadikan kandungan (content) di media sosial atau
mana-mana platform media.

Selain itu bapa kandung hendaklah memastikan kanak-kanak tersebut mendapat pendidikan dan terapi sewajarnya.

Mereka juga dikehendaki tinggal di alamat yang dinyatakan dalam perintah mahkamah namun jika mahu berpindah, perkara ini perlu dimaklumkan kepada JKM.

Selain itu, bapa kandung tidak boleh memindah hak penjagaan kanak-kanak ke tangan orang lain tanpa proses yang sah di sisi undang-undang dan tanpa pemakluman kepada Pelindung.

Syarat itu turut menetapkan bapa kandung hendaklah membawa kanak-kanak menziarahi ibu kandung sekurang-kurangnya 2 bulan sekali dan kad lawatan disertakan kepada Pelindung 6 bulan sekali;

Sekiranya bapa kandung melanggar salah satu syarat yang telah ditetapkan, Pelindung boleh mengambil kanak-kanak dan ditempatkan di institusi JKM.

Zaim Ikhwan sebelum ini dibebaskan tanpa perlu membela diri atas kes pengabaian Zayn Rayyan, manakala Ismanira Abdul Manaf, 30, diperintahkan membela diri.

Pada 31 Oktober lalu, Ismanira dihantar ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan manakala permohonannya untuk menangguhkan hukuman ditolak oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast