Gambar : Sekretariat JPBD Temerloh

KUANTAN – Dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Temerloh ditutup secara rasmi hari ini dan 22 orang mangsa banjir daripada lima keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Temerloh, dua buah PPS terbabit melibatkan PPS Seri Semantan yang ditutup pada pukul 9 pagi tadi dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Ira yang ditutup pada jam 2.30 petang.

Penutupan dua PPS berkenaan menjadikan berbaki tujuh buah PPS yang masih dibuka iaitu empat PPS di daerah Bera dan masing-masing sebuah PPS di daerah Temerloh, Maran dan Kuantan.

Mengikut kemaskini maklumat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat seramai 174 mangsa daripada 46 keluarga ditempatkan di kesemua PPS yang masih dibuka.

Sementara itu, sehingga jam 12 tengah hari tadi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang memaklumkan paras air di Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya, begitu juga di Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir di beberapa tempat di kawasan pendalaman di negeri ini sehingga Ahad ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast