KUALA LUMPUR – Kesediaan kerajaan melarang individu di bawah umur 16 tahun memiliki akaun media sosial disifatkan satu langkah tepat pada masa dan disambut baik oleh pelbagai pihak khususnya ibu bapa, guru-guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dijangka berkuat kuasa pada tahun depan, langkah itu sekali gus dapat memastikan keselamatan kanak-kanak di platform digital selain menangani isu-isu serius di media sosial yang semakin membimbangkan.
Langkah yang sama juga merupakan inisiatif kerajaan bertujuan mengatasi masalah jenayah buli siber, pengantunan kanak-kanak, penipuan serta kesan negatif terhadap kesihatan mental golongan bawah umur yang semakin meningkat akibat pendedahan keterlaluan terhadap platform digital.
Selain penguatkuasaan menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia, kerajaan juga sedang meneliti pelaksanaan had umur seperti di Australia dan beberapa negara lain termasuk dalam aspek penguatkuasaan.
Situasi berkenaan menunjukkan seluruh dunia sebenarnya sedang beralih kepada satu dasar atau akta secara khusus dalam melindungi generasi muda daripada terus menjadi mangsa sisi negatif dunia siber.

Pensyarah Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. B. Rani Ann berkata, langkah itu juga berasaskan prinsip protection before participation selaras dengan piawaian antarabangsa seperti UN Convention on the Rights of the Child (UNCRC) yang menekankan perlindungan keselamatan digital golongan bawah umur.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau yang merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), USM berkata, penetapan had umur dilihat sebagai langkah intervensi preventif dalam melindungi kesejahteraan kognitif, emosi dan sosial golongan bawah umur.
Jelasnya, langkah ini sangat wajar memandangkan kekurangan pengetahuan berhubung etika penggunaan media sosial dalam kalangan golongan bawah umur.
Mengambil contoh beberapa kandungan media sosial melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur yang tular, jelas memperlihatkan mereka tidak dapat membezakan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Perbuatan ini mungkin dilakukan oleh mereka tanpa mengetahui bahawa perbuatan mereka itu adalah salah. Jadi langkah kerajaan mencegah sebelum terlambat dengan mengehadkan umur untuk memiliki akaun media sosial adalah sangat tepat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sesuatu yang pasti, impak positif dalam pelaksanaan langkah ini juga dapat mengurangkan kejadian buli siber yang boleh menjejaskan emosi sehingga boleh terbawa-bawa ketika mereka melangkah ke alam remaja mahupun dewasa.
Selain itu, langkah itu juga boleh mengurangkan pendedahan kepada kandungan berbahaya seperti pornografi, keganasan, propaganda ekstremisme dan iklan manipulatif yang boleh mempengaruhi minda dan tindakan mereka.

Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga giat melaksanakan advokasi Kempen Internet Selamat di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi bagi menyebar luas dan mendidik golongan bawah umur supaya menggunakan platform digital secara berhemah dan beretika.
Bagaimanapun, perlu diakui usaha menghalang kanak-kanak di bawah umur 16 tahun memiliki akaun media sosial sendiri pasti berdepan cabaran dan sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya.
Antara kekangannya adalah dari sikap ibu bapa atau penjaga sendiri yang mungkin membenarkan anak-anak bawah umur menggunakan akaun media sosial mereka.
Sehubungan itu, menurut Rani Ann, dalam menjayakan langkah ini, ibu bapa, guru-guru dan masyarakat memaninkan peranan sangat penting dalam memberikan pencerahan kepada anak-anak berhubung matlamat serta manfaat pelaksanaannya.
“Sebenarnya tanpa pelaksanaan had umur ini sekalipun, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka sentiasa menggunakan platform digital dengan selamat.
“Bagi masyarakat dan NGO pula, mereka boleh membantu menjayakan langkah ini dari sudut advokasi mahupun nasihat, menyediakan modul kesedaran dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette
















