Pengamal media berkumpul bagi membuat liputan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Sri Gaya Kediaman Rasmi Ketua Menteri Sabah, Kota Kianabalu. Foto MOHD ADZLAN, 29 NOVEMBER 2025. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mencerminkan peralihan ketara dalam pola politik negeri itu yang bukan sekadar keputusan undi tetapi sebuah politik ‘territory’ berasaskan kuasa lokal, jaringan dan identiti.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai pemenang utama kerana dianggap mewakili DNA politik Sabah yang berakar dalam jaringan komuniti, mempunyai logistik kuat, akses sumber serta kehadiran tokoh tempatan.

Ibrahim menyifatkan ia sebagai fenomena ‘Network Sovereignty’, iaitu kuasa jaringan sosial dan pentadbiran yang memberi GRS kelebihan struktural.

“Kemenangan GRS selari dengan gelombang politik Sarawak yang berpaksikan autonomi dan sentimen negeri,” katanya dalam kenyataan.

Ibrahim berkata, Warisan kekal relevan kerana dilihat sebagai parti tempatan tulen dengan naratif “Sabah untuk Sabah”.

Sokongan terhadap Warisan, menurut Ibrahim, terbina melalui undian berasaskan identiti (identity-anchored voting) serta kepakaran memahami budaya politik tempatan.

“Perikatan Nasional (PN) yang hanya memperoleh satu kerusi dikatakan bukan kalah, tetapi belum ‘wujud’ dalam struktur politik Sabah.

“Bersatu kehilangan pengaruh setelah patron utama jatuh, manakala kemenangan Pas satu kerusi dianggap anomali positif dan bukti penembusan ideologi baru,” ujarnya.

PN, menurut Ibrahim, memerlukan tokoh Sabah bertaraf ‘warlord’ bagi membina kubu.

Barisan Nasional (BN) pula katanya, terus jatuh akibat dianggap mewakili politik pusat yang semakin ditolak.

“Imej kepimpinan lama, isu integriti dan kebergantungan pada jentera pusat dilihat mematikan sokongan, terutama dalam kalangan pengundi muda,” dakwanya.

Pakatan Harapan (PH) pula katanya, cuma hanya menang satu kerusi manakala DAP gagal meraih sebarang kerusi.

Ibrahim menjelaskan, kegagalan ini sebagai ‘collapse of ideological export’, iaitu ideologi Semenanjung tidak serasi dengan realiti sosial Sabah.

Datuk Ibrahim Ali.

“PH dianggap tidak relevan dalam kesedaran politik negeri”.

Parti STAR yang memenangi dua kerusi, UPKO (3 kerusi) dan KDM (1 kerusi) masih bertahan kerana faktor identiti etnik serta ‘tribal cultural subclusters’ yang masih wujud dalam undi Sabah, walaupun pengaruhnya semakin mengecil berbanding kekuatan GRS.

Ibrahim merumuskan, PRN Sabah sebagai ‘Revolusi Kuasa Lokal’ dengan tiga mesej utama iaitu politik Sabah kini digerakkan oleh kuasa lokal sepenuhnya, bukan lagi dikawal pusat.

BN, PH dan DAP mengalami penolakan struktural, bukan sekadar gelombang sementara manakala PN masih berpotensi, tetapi hanya jika membina tokoh Sabah yang kuat, berpengaruh dan beridentiti lokal.

Ibrahim turut menyimpulkan mesej PRN Sabah kali ini sangat jelas iaitu “Kami hanya ikut pemimpin kami. Bukan pemimpin Semenanjung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast