KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memasukkan usul menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat selama enam bulan.
Menurut beliau, tindakan itu dilakukan tanpa asas kukuh, tanpa prosedur yang adil dan tanpa memberi ruang pembelaan melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebagaimana amalan Parlimen yang sihat.
Ujarnya, penggantungan selama enam bulan tanpa perbicaraan merupakan penyalahgunaan kuasa Parlimen untuk mendiamkan suara pembangkang.
Katanya, tindakan itu juga langsung tidak menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap hujah sendiri, sebaliknya menggambarkan ketakutan melampau terhadap teguran dan semakan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kota Bharu.
“Saya ingin mengingatkan kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan yang pernah berada di blok pembangkang: penggantungan enam bulan inilah yang kamu lawan habis-habisan dahulu kerana ia tidak demokratik.
“Ketika YB Lim Kit Siang digantung selama enam bulan pada tahun 2015, Ahli-Ahli Parlimen Pas termasuk Ahli Parlimen Kota Bharu sendiri mengundi menentang kezaliman itu.
“Hari ini, apakah kamu mahu mengulangi tindakan yang dahulu kamu sendiri gelar sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Media hari ini melaporkan, Saifuddin Nasution dijangka mencadangkan usul menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan atas kenyataan yang mengaitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan peristiwa Memali.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin Nasution meminta Dewan Rakyat memutuskan sama ada Takiyuddin patut digantung atas kenyataan yang dibuat semasa perbahasan RUU Perbekalan 2026 peringkat dasar pada 22 Oktober lalu.
Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, alasan kononnya Takiyuddin telah ‘membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan’ adalah satu dakwaan dangkal dan bahaya kepada demokrasi.
Sedangkan, ujar beliau, apa yang dimohon oleh Ahli Parlimen Kota Bharu berkenaan hanyalah penjelasan terhadap standard prosedur operasi (SOP) latihan semata-mata, tidak lebih daripada itu.
“Dalam sistem yang matang, kerajaan mesti terbuka kepada teguran.
“Menegur kerajaan bukan jenayah, ia adalah tugas seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menghentikan segera percubaan memperalatkan Parlimen untuk tujuan politik sempit.
Tegasnya, Parlimen bukan pentas membalas dendam, sebaliknya merupakan institusi kedaulatan rakyat.
“Menggantung seorang wakil rakyat tanpa bicara bukan sahaja penghinaan terhadap Dewan, malah penghinaan terhadap pengundi Kota Bharu,” katanya. – MalaysiaGazette
















