Tular dalam media sosial memaparkan seorang lelaki terlibat dalam keganasan jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang, semalam.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai juruteknik di Singapura untuk membantu siasatan dalam satu insiden keganasan jalan raya di Lebuh Raya Pasir Gudang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek yang berusia 44 tahun ditahan di kawasan Taman Bukit Kempas, Johor Bahru.

“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahannya pukul 7.50 petang semalam. Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai juruteknik di Singapura, tiada rekod lampau dan ujian saringan air kencing mendapatinya negatif dadah.

“Pihak polis turut merampas sebuah motosikal dan suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, selain Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

Terdahulu tular dalam media sosial, seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa menjadi mangsa provokasi dan serangan seorang penunggang motosikal terbabit di lebuh raya tersebut semalam.

Klip video 24 saat dimuat naik menerusi Facebook menunjukkan penunggang terbabit memecut motosikal di belakang kereta sebelum membaling batu ke arah cermin belakang kenderaan itu.

Mangsa dikenali sebagai, Aeyin, bekerja dalam bidang e-dagang berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 8 pagi ketika dia dan seorang kawan lelaki, Nazs, 30, sedang memandu menuju ke Taman Bukit Indah.

Menurutnya, selepas keluar dari Tol Perling, Nazs menyalakan lampu isyarat dan memeriksa cermin sisi sebelum memasuki lorong kiri.

Menurutnya, ketika itu, seorang penunggang motosikal berada kira-kira 30 meter di belakang keretanya.

“Kami masuk perlahan-lahan dan mengikut aliran trafik tetapi tiba-tiba dia memecut seperti tidak mahu beri laluan. Dia hon berkali-kali dan bawa motor secara agresif,” kata Aeyin.

Aeyin juga mendakwa lelaki itu turut menunjukkan isyarat lucah dan ketawa secara mengejek sambil cuba menghalang keretanya bergerak.

Situasi bertambah tegang apabila penunggang motosikal itu dikatakan menghentak cermin sisi kiri kereta sebelum berhenti di bawah jejantas.

Pada mulanya, Aeyin menyangka kasut lelaki itu tercicir namun dia kemudian menyedari suspek berhenti untuk mengambil seketul batu.

“Dia mengambil satu batu di tepi jalan yang agak besar dan boleh mencederakan orang, pada awalnya saya tidak berfikir banyak. Tapi dia kejar semula dan cuba baling batu ke arah tingkap penumpang. Kawan saya terus pecut elak dia,” jelasnya.

Namun kereta yang dinaiki mereka terpaksa berhenti apabila lampu isyarat merah, pada ketika itu, suspek berjaya mengejar dan melemparkan batu tersebut ke arah kereta mereka.

“Bunyi retakan cermin besar belakang kereta saya amat kuat, apabila saya toleh belakang, tempat duduk belakang kereta saya ada batu besar dan serpihan kaca,” ceritanya.

Aeyin dan kawannya kemudian mengekori lelaki itu dari jarak selamat sehingga berjaya merakam nombor pendaftaran motosikal dengan plat nombor Singapura serta wajahnya sebagai bukti.

Kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya mengalami kerosakan pada cermin besar belakang dan sisi, dengan anggaran kos pembaikan sekurang-kurangnya RM700.

Aeyin dan kawannya Nazs telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Perling, Johor Bahru semalam dan menyerahkan bahan bukti kepada pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast