TANGKAP layar video serbuan pihak berkuas ke atas pusat kesihatan yang dipercayai turut dijadikan lokasi aktiviti lelaki songsang di ibu negara, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh mempersoalkan tindakan pemecatan serta-merta terhadap Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat kesihatan di Chow Kit, baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan itu jelas bercanggah dengan Artikel 135(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seseorang pegawai awam berhak diberikan peluang munasabah untuk didengar sebelum tindakan buang kerja atau penurunan pangkat diambil.

Melainkan,  jika tingkah laku pegawai itu termasuk dalam pengecualian yang dinyatakan dalam artikel tersebut, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat disebabkan sabitan jenayah, katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor,

Ramkarpal Singh

“Tiada bukti menunjukkan bahawa tingkah laku pegawai berkenaan termasuk dalam mana-mana pengecualian tersebut.

“Oleh itu, kementerian tidak seharusnya bertindak secara arbitrari tanpa memberi ruang kepada pegawai tersebut untuk membela diri melalui representasi bertulis dan, jika perlu, pendengaran lisan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang PTD di Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang ditahan dalam serbuan di pusat sauna yang disyaki menjadi lokasi lelaki songsang diarahkan meletakkan jawatan serta-merta.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia susulan tindakan serta-merta Unit Integriti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memulakan siasatan dalaman ke arah tindakan tatatertib mengikut ketetapan peraturan perkhidmatan.

Sementara itu, Ramkarpal berkata, penting untuk ditegaskan bahawa tiada seorang pun daripada yang ditahan dalam serbuan terbabit telah didakwa atau disabitkan dengan sebarang kesalahan berhubung penahanan itu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tidak patut mewujudkan suatu keadaan yang akan membolehkan pemecatan penjawat awam secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi proses undang-undang yang sewajarnya.

“Isu ini adalah berkait rapat dengan kedaulatan undang-undang dan keperluan memelihara proses keadilan sebagai asas mana-mana sistem demokrasi yang perlu dijamin oleh kerajaan pada setiap masa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast