Ketua Komunikasi Korporat Unit Pelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Sapian Mamat memberikan taklimat media berkaitan program ‘Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025’ di pekarangan Dataran Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 03 DISEMBER 2025.

PUTRAJAYA – Persiapan akhir Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 kini memasuki fasa terakhir menjelang penganjurannya dari 5 hingga 7 Disember ini di Dataran Putrajaya.

Program berskala nasional itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Komunikasi Korporat PACU, Sapian Mamat berkata, program berkenaan menghimpunkan pencapaian kerajaan, inisiatif dasar dan manfaat untuk rakyat dalam satu platform terbuka.

“Bermula 5 hingga 7 Disember ini, kita akan mengadakan Program Rancakkan Madani bersama Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam 2025.

“Konvensyen ini lebih substantif kerana ia mengumpulkan pemikir dalam kalangan penjawat awam dan pemain industri untuk membincangkan halatuju perkhidmatan awam,” katanya ketika memberi taklimat media di Dataran Putrajaya hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Unit Pelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Sapian Mamat bercakap pada media berkaitan program ‘Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025’ di pekarangan Dataran Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 03 DISEMBER 2025.

Keseluruhan program dirangka merangkumi lapan segmen utama, antaranya Ukhuwah Rakyat Madani, Belia Madani, Produk Rakyat Madani, Kesejahteraan Madani, TVET dan STEM-AI, karnival mini pelancongan, ASEAN serta hubungan antarabangsa.

“Tahun ini, kita mencatatkan banyak rekod baik di dalam negara, rantau ASEAN dan peringkat antarabangsa. Program Rancakkan Madani ini mengumpulkan semua elemen tersebut supaya orang awam boleh menyaksikan sendiri pencapaiannya,” ujarnya.

Ketua Komunikasi Korporat Unit Pelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Sapian Mamat memberikan taklimat media berkaitan program ‘Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025’ di pekarangan Dataran Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 03 DISEMBER 2025.

Dalam pada itu, Sapian berkata, lebih 30 ruang perkhidmatan kerajaan disediakan bagi membolehkan rakyat mendapatkan maklumat secara langsung daripada pegawai kementerian dan agensi.

“Ini ruang komunikasi antara orang awam dan agensi kerajaan. Kalau ada persoalan, inilah peluang untuk bertanya sendiri kepada penjawat awam. Manfaat 2025 serta rangka awal Belanjawan 2026 turut dipersembahkan kepada rakyat

“Kita juga akan ada Jualan Rahmah dan Jualan Kembali Ke Sekolah menjadi antara tarikan utama apabila industri terpilih menawarkan potongan harga selepas berkoordinasi dengan KPDN,” katanya lagi.

Selain itu, program turut menampilkan pameran aset kerajaan secara statik, perkhidmatan kesihatan, pameran TVET dan STEM-AI, karnival kerjaya, pengedaran topi keledar baharu serta kemudahan kiddo care selama dua jam pertama untuk ibu bapa yang membawa anak kecil.

Suasana persiapan program ‘Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025’ di pekarangan Dataran Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 03 DISEMBER 2025.

Untuk pengunjung yang membawa kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam, Sapian berkata, kemudahan telah disusun bagi mengurangkan kesesakan.

“Kami galakkan pengunjung menggunakan perkhidmatan awam. Shuttle bus disediakan dari beberapa lokasi park and ride seperti Presint 11, 15, 8 dan 9. Putrajaya juga ada stesen MRT dan BRL. Parkir di Presint 2, 4 dan 5 semuanya dalam jarak berjalan kaki,” katanya.

Antara tarikan tambahan ialah jualan agro, jualan barangan sukan, Temasya Kopi, NADI E-Sukan Madani, agihan biji benih dan anak pokok, perkhidmatan tukar minyak enjin motosikal percuma, gunting rambut percuma serta jualan trak makanan.

Penganjur turut menawarkan 60 hadiah cabutan bertuah, termasuk hadiah utama sebuah motosikal Modenas 150cc dan pelbagai barangan elektrik.

Program itu juga akan dimeriahkan persembahan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada hari ketiga selain Malam Kegemilangan Qalbi yang mengetengahkan hiburan berunsurkan kerohanian.

Program Rancakkan Madani akan dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala Ahad dari 9 pagi hingga 6 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast