Antara barangan dirampas daripada ahli sindiket along yang melakukan ugutan jenayah dengan membaling cat dan khianat api

JOHOR BAHRU – Mempromosikan pinjaman wang haram melalui laman sosial seperti Facebook dan Tik Tok.

Sindiket tersebut menyasarkan rakyat tempatan yang bekerja di Singapura dengan memerangkap mangsa yang membuat pertanyaan.

Tanpa persetujuan mangsa, wang pinjaman terus dikreditkan ke akaun peminjam walaupun terma dan syarat perjanjian pinjaman belum dipersetujui.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, itu merupakan modus operandi sindiket berkenaan.

“Peminjam kemudiannya dipaksa membayar balik dengan kadar faedah yang tinggi, antara 20 peratus hingga 50 peratus daripada jumlah pinjaman.

“Sekiranya gagal membayar, ahli sindiket akan membuat ugutan dan khianat dengan api bagi menakutkan mangsa serta ahli keluarga.

“Sasaran utama ialah warga tempatan yang bekerja di Singapura, manakala transaksi keluar masuk wang dijalankan melalui akaun bank berdaftar di Singapura,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, pihaknya dapat menghidu kegiatan along tersebut dan menahan dua lelaki yang direkrut untuk melakukan ugutan jenayah dengan membaling cat dan khianat api, bulan lalu.

Katanya, dua lelaki tempatan berusia 45 dan 46 tahun itu ditahan pada 18 November lalu di daerah Segamat.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati, suspek aktif sejak awal Ogos lalu dengan mendapat bayaran upah sebanyak RM800 bagi setiap perbuatan khianat api, manakala sebanyak RM400 bagi perbuatan khianat simbah cat termasuk menampal notis ugutan di kediaman mangsa.

“Siasatan mendapati suspek menerima upah daripada sindiket untuk melakukan ugutan jenayah serta perbuatan khianat dengan api dan simbah cat ke atas kediaman mangsa yang gagal membuat bayaran semula pinjaman.

“Ketika tangkapan dibuat, polis turut membuat beberapa rampasan antaranya sebuah kereta Proton Wira, dua keping nombor pendaftaran kereta (palsu), dua botol berisi minyak petrol, setin cat, dua telefon bimbit dan pelbagai alat tulis yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah terbabit,” katanya.

Menurut Ab Rahaman, dengan tangkapan yang dibuat, polis berjaya menyelesaikan 17 kes dengan modus

operandi sama iaitu enam kes di Johor Bahru Selatan, tiga kes Johor Bahru Utara, tiga kes di Batu Pahat, tiga kes di Kluang, satu kes di Seri Alam dan satu kes di Segamat.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing didapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan mereka ditahan reman sehingga hari ini.

“Sebanyak 19 kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan mendapat arahan tuduh bagi seorang daripada suspek.

“Sembilan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, manakala 10 lagi pertuduhan dibuat kemudian,” katanya.

Pada masa sama, Ab Rahaman berkata, pihaknya akan terus memperkukuh tindakan memerangi sindiket along bagi melindungi masyarakat daripada ancaman ugutan, kekerasan dan khianat api yang didalangi oleh kumpulan itu.

Katanya, komitmen ini menjadi bukti keprihatinan polis dalam memastikan Johor kekal selamat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayari iklan-iklan yang menawarkan pinjaman wang secara dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa keadaan.

“Sebarang maklumat kegiatan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau aktiviti jenayah boleh disalurkan ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-2212999,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast