Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Ladang yang diusahakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi FGV Holdings Berhad (FGV) di Terengganu bukan penerokaan haram yang dilakukan di atas tanah milik orang lain.

Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tanah itu diteroka, dihidupkan dan dibangunkan oleh FGV dan FELDA dengan kelulusan serta pengetahuan Kerajaaan Negeri Terengganu sejak puluhan tahun lalu.

Malah, beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO berkata, tanah itu juga dibangunkan demi kepentingan rakyat Terengganu.

“Semua kos penerokaaan, penanaman, pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan ditanggung oleh FGV dan Felda.

“Kerajaan Terengganu sewajarnya menangani kes ini menurut keadah Ihya Mawat menghidupkan bumi yang mati sebagaimana kaedah Islam dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan bumi yang mati maka ia menjadi miliknya” (Hadis Sahih riwayat Abu Dawud dan Tirmizi),” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Khairuddin berkata, sebagai parti yang bertunjangkan Islam, setiap sesuatu tindakan yang diambil Pas dan Kerajaan Negeri Terengganu sewajarnya berdasarkan kaedah Islam, bukan hanya undang-undang semasa.

“Tindakan menyita seolah mengusir tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Ahad lalu, Kerajaan Negeri Terengganu dilaporkan memulakan tindakan penguatkuasaan terhadap FGV dengan mengeluarkan 127 notis larangan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran melibatkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) itu merupakan langkah awal tindakan perundangan selepas rundingan berhubung isu pembayaran hasil negeri gagal mencapai persetujuan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast