Aktivis, Fahmi Reza bercakap sempena Forum "SHOULD WE REWRITE OUR HISTORY TEXTBOOKS" di KL-Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 29 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Aktivis dan pelukis grafik politik, Fahmi Reza, sekali lagi mencetuskan perhatian apabila menyindir Kerajaan Madani berhubung tindakan terhadap karya terbaharunya yang memaparkan grafik tikus.

Dalam satu hantaran di media sosial, beliau membandingkan reaksi dua pentadbiran berbeza terhadap karya satira yang dihasilkannya sejak beberapa tahun lalu.

“2016: Pemerintah lama gerun dengan grafik badut

2025: Pemerintah baharu gerun dengan grafik tikus,” tulisnya dengan nada sinis.

Semalam, Fahmi memaklumkan dirinya dipanggil untuk siasatan berhubung satu pelekat yang dipaparkan ketika siaran langsung TikTok “Kelas Demokrasi”.

Polis menerima satu laporan terhadap Fahmi semalam, susulan itu satu siasatan dibuka bawah Seksyen 504 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan manakala Seksyen 505(c) melibatkan kenyataan, khabar angin atau laporan yang disebarkan dengan niat menghasut kesalahan terhadap pihak lain.

Sementara itu, Seksyen 233 AKM pula melibatkan penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan perubahan kerajaan bukan alasan untuk mengubah pendirian terhadap prinsip kebebasan bersuara, terutama melalui karya seni yang bersifat kritikal.

“Kerajaan dan pemerintah boleh bertukar. Pemimpin dan politikus datang dan pergi. Tapi prinsip perjuangan jangan sesekali digadaikan. Stay true to your principles,” katanya.

Aktivis itu sebelum ini sering berdepan tindakan pihak berkuasa berhubung karya satira politiknya, termasuk poster dan grafik yang mengkritik dasar kerajaan atau perilaku pemimpin tertentu.

Hantaran terbaharunya dipercayai merujuk kepada laporan bahawa pihak tertentu tidak berpuas hati dengan penggunaan imej tikus dalam grafiknya, yang dianggap menyindir pentadbiran semasa.

Fahmi bagaimanapun menegaskan bahawa seni satira adalah sebahagian daripada ekspresi demokratik dan akan terus menggunakan medium itu untuk menyampaikan pandangan tanpa takut kepada sebarang tekanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast