KENYATAAN Lajnah Kesihatan Pas Terengganu berkenaaan isu hubungan songsang.

KUALA LUMPUR – Lajnah Kesihatan Pas Terengganu menggesa pindaan segera terhadap undang-undang berkaitan kepincangan moral dan kesalahan seksual songsang supaya tindakan tegas terhadap perbuatan itu dapat diambil.

Ketuanya, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, pihak berkuasa juga perlu memastikan standard prosedur operasi (SOP) penguatkuasaan lebih jelas bagi kes melibatkan tangkapan besar dan perintah reman.

Dalam masa sama, ujarnya, Kementerian Pendidikan (KPM) wajar memperketat saringan terhadap pendidik serta mewujudkan garis panduan keselamatan pelajar dalam menangani gejala hubungan songsang.

“Kempen kesedaran fitrah dan kesihatan awam juga perku dipergiatkan secara bersepadu di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan jabatan kerajaan bagi mengatasi masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Tengku Muhammad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, penularan gejala songsang bukan sahaja menyalahi norma agama dan budaya.

Malah, ujarnya, ia turut mengundang risiko besar terhadap keselamatan pelajar, kestabilan institusi pendidikan dan kesihatan awam, khususnya berkaitan gangguan seksual, grooming serta penyakit berjangkit.

Tambah beliau, pihaknya turut memandang berat laporan mengenai pembabitan sebahagian penjawat awam dalam aktiviti homoseksual berunsur tidak bermoral.

Jelasnya, penglibatan itu menjejaskan kredibiliti jabatan kerajaan, melemahkan integriti perkhidmatan awam dan memberi isyarat negatif kepada masyarakat.

“Terdapat aduan melibatkan guru dan penggiat pendidikan yang terlibat dengan kecenderungan homoseksual sehingga mencetuskan risiko grooming dan eksploitasi pelajar.

“Lajnah Kesihatan berpandangan bahawa keselamatan pelajar adalah keutamaan dan sebarang tingkah laku yang menimbulkan ancaman mesti ditangani segera melalui siasatan dan tindakan tegas,” katanya.

Tambah beliau, normalisasi budaya songsang berpotensi merosakkan struktur keluarga, mengelirukan identiti seksual remaja, meningkatkan gejala kesihatan mental serta penyakit kelamin.

Sekiranya tidak dibendung, ujarnya, negara berdepan risiko membentuk generasi dengan kekeliruan moral dan hilang arah sosial. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast