KLUANG – Pemilihan peserta Program Teduh Kasih Rela Madani di Johor bagi tahun ini bergantung kepada keperluan mendesak anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang perlukan pembaikan rumah dengan segera.
Pengarah Rela Negeri Johor, Khairol Faizal Rosli berkata, program tersebut dengan konsep ‘Tangan Dihulur Budi Disambut’ memberi fokus terhadap kediaman ahlinya yang sudah rosak teruk dan dalam keadaan amat mendesak untuk dibaiki.
“Walaupun terdapat 10 daerah di negeri Johor, namun tidak semestinya setiap daerah akan mendapat kuota lima buah rumah, sebaliknya bergantung kepada keperluan mendesak anggota yang perlu kepada tindakan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau kerja-kerja baik pulih rumah seorang anggota Rela di Felda Ayer Hitam, di sini, baru-baru ini.
Katanya, program berkenaan bertujuan membantu anggota Rela yang kurang berkemampuan melakukan baik pulih kediaman mereka yang uzur.
Program yang bermula awal bulan lalu itu katanya, akan dilaksana selama dua bulan dan berakhir pada bulan ini.
“Program ini mendapat suntikan dana RM250,000 daripada Rela bagi tujuan baik pulih 50 buah rumah anggotanya di 10 daerah di Johor dengan kos RM5,000 bagi setiap rumah,” ujarnya.
Menurut beliau, kebanyakan kerja-kerja yang dilaksanakan adalah mengganti atap, syiling, pintu serta dinding bagi rumah kayu selain terdapat juga keperluan mengecat
“Apa yang menarik, program ini dilaksanakan secara gotong-royong dalam kalangan anggota Rela itu sendiri,” katanya.
Secara tidak langsung katanya, program itu bukan sekadar membantu memberi keselesaan kepada anggota yang kurang bernasib baik, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan sesama mereka selari slogan Rela iaitu Setia Berbakti.
Sementara itu, penerima bantuan, Mohd Yazid Saadon, 51, yang duduk di rumah pusaka peninggalan orang tuanya itu menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Rela yang menghulurkan bantuan membaiki kerosakan kediamannya.
Menurut bapa kepada tiga anak berusia 19 hingga 23 tahun itu, dia tidak mampu membaiki pelbagai kerosakan rumah tersebut termasuk bahagian atap yang memerlukan kos tinggi disebabkan kekangan ekonomi.
Dia sekeluarga begitu gembira apabila dimaklumkan terpilih menyertai program itu dan mengambil keputusan mengosongkan kediamannya buat sementara dengan menumpang rumah kakaknya bagi memudahkan kerja-kerja baik pulih dijalankan.
“Bahagian atap yang bocor yang memaksa kami menadah besen dan baldi setiap kali hujan, pintu dan syiling juga sudah reput dan perlu diganti yang baharu,” ujarnya.
Selepas ini katanya, mereka akan lebih selesa dan tidak perlu risau setiap kali hujan lebat apatah lagi musim hujan.
“Saya juga berasa gembira dan bangga dengan kerjasama serta semangat kekeluargaan yang ditunjukkan anggota serta kepimpinan Rela termasuk dari ibu pejabat yang sanggup turun padang berpanas membaiki rumah saya. Terima kasih semua,” katanya. – MalaysiaGazette
















